Nasional

JKSNPs tingkat ilmu bidang kehakiman

Bagi mencapai tahap kepuasan perkhidmatan, kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) terutamanya barisan Hakim-hakim perlu sentiasa berusaha bagi menambah ilmu pengetahuan berkaitan bidang kehakiman, prosedur-prosedur mahkamah yang dikanunkan melalui undang-undang bertulis dan juga kitab-kitab fiqah yang relevan. Selain itu, segala tindakan dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh Hakim-hakim hendaklah sejajar dengan keputusan-keputusan hukum syarak yang diputuskan oleh pemerintah seperti keputusan-keputusan fatwa yang sedang berkuatkuasa.

JKSNPs juga perlu peka dengan peraturan-peraturan atau dasar-dasar yang telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Dengan kata lain, ”Hubungan Antara Agensi Agama Sentiasa Harmoni Dan Bersama Dalam Tindakan”.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menerima sembah mengadap oleh delegasi Hakim-hakim dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) diketuai oleh Ketua Hakim Negeri, Hj Ibrahim Deris yang diadakan di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar.

Hadir sama adalah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JAIPs), Dr Hazman Hassan.

Jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra, sebagai sebuah institusi agama Islam pelaksana yang berada di bawah naungan DYMM Tuanku Raja Pemerintah bagi melaksanakan Undang-Undang Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri ini, segala tindakan yang diambil hendaklah sentiasa seiring dengan undang-undang yang sedang berkuatkuasa demi menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dan memudahkan urusan rakyat negeri Perlis semasa berurusan dengan Mahkamah Syariah.

Hj Ibrahim pula mempersembah maklumkan bahawa sesuai dengan slogan ‘Syariah Adas Keadilan’, sebagai sebuah agensi pelaksana, JKSNPs akan sentiasa berusaha bagi menambahbaikkan lagi jabatannya dengan pelbagai inovasi baharu bagi membolehkan perkhidmatan kepada masyarakat lebih pantas, mesra dan berkualiti.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button