Sebanyak 642 produk kesihatan dan lima peranti digital dengan nilai keseluruhan RM8.3 juta berjaya dirampas oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu serbuan Ops Pharma, semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, rampasan itu adalah yang terbesar dicapai oleh CPF setakat ini.
Menurutnya, dalam serbuan bermula pukul 2.00 petang dan tamat kira-kira pukul 10.00 malam itu membabitkan tujuh premis di sekitar bandar Melaka yang menjual produk mengandungi steroid anabolik dan tidak berdaftar.
“Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua tahun. Produk yang dirampas diperolehi daripada pelbagai negara dan kita percaya ia dijual secara tidak sah untuk pasaran dalam negara.
“Modus operandi premis berkenaan adalah menjual produk ini secara dalam talian melalui rumah kedai, rumah dan bangunan yang dijadikan stor penyimpanan. Mereka dipercayai sudah aktif sejak lebih dua tahun,” katanya pada sidang akhbar Ops Pharma di pejabat JKNM, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.
Bagaimanapun kata Rusdi, setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi pihaknya telah mengenal pasti dua suspek lelaki termasuk seorang warganegara asing yang terlibat.
Menurutnya, kedua-dua suspek sebelum ini pernah didakwa dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dilakukan untuk melihat ada kemungkinan pemain-pemain lain yang lebih besar turut terlibat dalam penjualan produk kesihatan haram ini.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu melibatkan CPF Negeri Sembilan dan Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.
– SM