JenayahNasionalUncategorized

JKDM rampas ketamin RM1.2 juta di KLIA

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup 20.14kg dadah dianggarkan bernilai RM1.2 juta yang disorokkan dalam satu bungkusan diikrarkan barangan perubatan pada 28 Ogos lepas di Pusat Mel dan Kurier Udara Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohamad berkata pemeriksaan ke atas bungkusan tiba pada 25 Ogos lepas dari Asia Tengah itu menggunakan alamat penerima palsu di Nilai, Negeri Sembilan, menemui 20 bungkusan plastik bersalut kerajang aluminium mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin.

“Modus operandi adalah menyembunyikan dadah berbahaya dalam aluminium foil dan dimasukkan dalam kotak bagi mengaburi pihak berkuasa dan menganggap ia tidak dapat dikesan ketika diimbas mesin pengimbas,” katanya dalam sidang media.

Setakat ini, katanya, tiada tangkapan dibuat, namun siasatan giat dijalankan bagi mengesan individu terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sazali berkata, setakat 31 Ogos lalu, 74 kes dengan nilai rampasan RM13.4 juta serta enam tangkapan dilakukan JKDM di kawasan KLIA, dengan 71 kes daripadanya di kawasan Pusat Mel dan Kurier Udara KLIA, dua di balai ketibaan serta satu di “ruang eksport”.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button