JenayahNasionalNegeri

JKDM Perlis rampas 35 kilogram syabu bernilai RM1.15 juta

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis mencatatkan kejayaan terbesar tahun ini apabila sebanyak 35 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.15 juta dirampas.

Sekaligus Operasi Mekong Dragon oleh Unit Narkotik Padang Besar JKDM Perlis ini
berjaya menyekat dadah sejumlah ini dari diedarkan kepada 174,600 penagih di kawasan utara tanahair.

Ismail Hashim

Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, dadah ini telah ditemui dalam guni beras pada pukul 7.30 malam pada 4 Ogos lalu yang diletakkan di tepi sungai, Kuala Perlis.

“Setelah sejam menunggu tetapi tiada yang tampil mengambil maka guni beras yang mengandungi bungkusan paket keemasan teh cina ‘Guangyin wang’ dirampas,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Perlis di Padang Besar hari ini.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Katanya, modus operandi pengedaran dadah ini dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan laut menggunakan sampan kecil.

Ismail berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sehubungan itu, beliau berharap menerusi operasi ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pendirian tegas JKDM Perlis bagi memerangi isu penyeludupan.

“JKDM Perlis akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat dalam penyeludupan barang-barang tidak berkastam atau apa-apa barang larangan serta pengedaran dadah berbahaya,” katanya.

Ismail berkata, orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button