Jiran tak bertamadun! Buang mi segera, ludah atas kereta
HIDUP berjiran hendaklah saling hormat- menghormati dan jangan melakukan sesuatu perkara yang boleh menganggu dan menimbulkan kemarahan jiran.
Baru-baru ini tular sebuah video seorang wanita yang bernama Hazlinayani Abd Manan yang menunjukkan keadaan kereta miliknya yang dipenuhi dengan sisa mi segera yang dipercayai dicampak oleh penghuni flat tersebut.
Menurut laporan Mstar, Hazlinayani atau lebih mesra dipanggil Nina menyedari kejadian tersebut sekitar pukul 7:30 ketika ingin pergi kerja, beberapa hari lalu.
“Dari jauh saya tengok apasal lain macam je kereta saya. Sampai dekat, nampak sisa mi segera bersepah atas bonet depan dan bumbung.
“Pagi-pagi dah buat mood saya hilang. Sudahlah sehari sebelumnya saya cuci kereta siap kilatkan. Dua jam kena tunggu kereta siap, alih-alih kena sisa makanan. Itu yang tambah membara,” katanya yang merupakan seorang guru tadika di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Nina turut memberitahu bahawa dia mengambil masa hampir 15 minit untuk kutip sisa mi segera yang masuk di celah-celah bonet.
“Satu hari saya sakit hati kerana masih boleh bau lagi kuah kari mi segera itu sebab ada tompokan kuah,” katanya.
Menurut Nina, kotak parking keretanya bukan terletak di bahagian bawah dapur penghuni flat yang berkemungkinan besar untuk orang campak makanan tetapi keretanya diparking di bahagian koridor.
Tambahnya, sebelum ini banyak kali ada kesan ludah di keretanya tetapi ini kali pertama keretanya kena yang agak teruk selama dua tahun dia menetap di flat tersebut.
“Saya ada suarakan kepada pihak pengurusan walaupun jiran-jiran memberitahu terdapat beberapa kes sama berlaku tetapi tak pernah ada tindakan yang diambil,” katanya.
Nina turut memberitahu, jiranya pernah kena lebih teruk daripadanya iaitu atas kereta terdapat kondom yang telah digunakan.
Nina telah kongsikan luahan rasanya menerusi sebuah video di TikTok dan telah mendapat maklum balas daripada netizen yang mempunyai pengalaman yang sama. – SM