JHEV ATM kerjasama dengan Perkeso “job matching” veteran
Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menawarkan peluang pekerjaan melalui ‘Job Matching’ dengan kerjasama pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa agensi pekerjaan kepada veteran ATM yang tidak bekerja selepas tamat perkhidmatannya bersama dengan pasukan masing-masing.
JHEV ATM dengan kerjasama PERHEBAT menyediakan satu sistem maklumat setiap anggota tentera yang bakal menamatkan perkhidmatan dalam jangka masa dua atau tiga tahun dengan memilih kursus berkaitan dengan kecenderungan individu dalam bidang pekerjaan tertentu termasuk menyediakan kursus ‘Reskilling and Upskilling’.
Seramai 800 orang bakal pesara ATM telah menjalani kursus ‘Occupational Safety and Health for Supervisor’ di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang merupakan persediaan bagi menjalani kehidupan selepas persaraan.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Haji Darus kepada Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kuala Lumpur.
Tuanku Raja Muda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam majlis sembah mengadap tersebut.
Turut hadir sama adalah Ketua Pegawai Operasi Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel Azwadi Jamian (B) dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia, Datuk Haji Ismail Haji Abidin.
Sesi itu bertujuan untuk memastikan para veteran ATM bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai orang awam dan mempunyai persediaan yang rapi khusus dalam sektor pekerjaan.
Objektif utama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM adalah untuk membantu para pesara Angkatan Tentera Malaysia dalam meningkatkan taraf sosioekonomi setelah menamatkan perkhidmatan dalam ATM dan akan terus berusaha untuk menjalankan pelbagai kerjasama dan program bagi memastikan ianya tercapai.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertukat-tukar pandangan dengan Zamberi yang berasal dari Perlis dan turut memberikan beberapa titah saran penambahbaikan untuk dipertimbangkan oleh pihak JHEV ATM.
GALERI