Pengalaman mendapat rawatan di Hospital Al Shefa Syarif Mansour di Mekah selama 15 hari akibat mengalami sesak nafas sewaktu mengerjakan umrah pada Mac lalu cukup memberi pengajaran berguna kepada seorang pesara, Khamis Ahmad, 67, dari Felda Kemendor, Jasin, Melaka.
Pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) itu berkata, sejurus pulih daripada menerima rawatan dia ditahan oleh pihak hospital kerana tidak dapat membayar bil yang mencecah RM150,000.
Menurutnya, dia dan isteri serta empat lagi ahli keluarga lain berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah buat pertama kali pada 5 Mac dan sepatutnya pulang pada 15 Mac lalu.
“Saya seperti tidak boleh berfikir apabila pihak hospital memberi tahu saya perlu menjelaskan bayaran bil sebanyak RM150,000. Jika tidak, saya dihalang pulang ke tanah air.
“Mujurlah isteri dan anak-anak menubuhkan tabung dana melalui Facebook meminta simpati orang ramai menghulurkan bantuan bagi mengumpul wang berjumlah RM150,000.
“Lebih mengejutkan seorang lelaki yang tidak memberitahu nama telah memasukkan RM100,000 ke dalam akaun anak saya dan mencukupkan jumlah RM150,000 yang perlu dijelaskan kepada pihak hospital,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kemendor, Jasin, Melaka semalam.
Khamis berkata, dia bersama anak keduanya berjaya pulang ke tanah air pada 7 April lalu.
Katanya, tanpa bantuan lelaki yang tidak mahu dikenali itu, tidak mungkin dia dapat pulang semula ke tanah air dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Justeru dia menasihatkan agar jemaah haji memastikan minda dan badan berada dalam keadaan sihat ketika menunaikan ibadah haji di tanah suci tidak lama lagi.
Menurutnya, faktor kesihatan perlu menjadi keutamaan kepada jemaah kerana mereka terdedah kepada risiko kesihatan lebih tinggi ekoran kepadatan umat Islam dari seluruh dunia yang berkumpul di tempat dan waktu sama.
Katanya, mereka yang mempunyai penyakit jantung lebih berisiko jika soal kesihatan tidak diberikan tumpuan dalam kesibukan mengerjakan Rukun Islam Kelima itu.
“Pengalaman saya kena serangan jantung sewaktu mengerjakan umrah Mac lalu cukup memberi pengajaran betapa soal kesihatan perlu diberi keutamaan.
“Bila sudah pulih, saya terkejut terpaksa membayar bil rawatan mencecah RM150,000. Saya tidak ada wang sebanyak itu hingga satu ketika saya putus harapan untuk pulang ke tanah air,” ujarnya.
Jelasnya, isteri dan anak-anaknya menubuhkan dana melalu Facebook merayu simpati orang ramai untuk menghulurkan bantuan selain menyiarkan kisah peritnya di akhbar arus perdana pada 3 April lalu.
“Keesokan harinya, seorang hamba Allah yang tidak memberitahu namanya telah memasukkan RM100,000 ke dalam akaun anaknya dan membolehkan saya pulang dan selamat tiba ke tanah air pada 7 April lalu,” ujarnya.
Sehubungan itu Khamis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyumbang kepada tabung dana untuk membantunya membayar bil hospital terutama seorang lelaki yang memasukkan RM100,000.
Begitupun katanya, dia dan isterinya terkejut kerana masih ada orang ramai terus menyumbang ke tabung dana itu sehingga 2 Mei lalu.
Katanya, lebihan daripada dana itu diinfak kepada mangsa kebakaran di Nyalas, penderitaan seorang bayi mengalami penyakit kronik dan seorang lagi mangsa jemaah umrah kena serangan jantung di Mekah baru-baru ini. – SM