Jawatan PM-9 juga bukan hak mutlak Dr. Mahathir
ISU mengenai siapa yang lebih berhak untuk menjadi perdana menteri ke-9 (PM-9) antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin panas.
Tengah hari tadi Anggota Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menegaskan, jawatan Perdana Menteri ke-9 bukan hak mutlak Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan Maszlee dibalas dengan pedas oleh Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad sebentar tadi.
Nik Nazmi secara sinis berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Maszlee bahawa jawatan tersebut bukan hak mutlak Anwar dan jawatan Perdana Menteri ke-9 juga bukan hak mutlak Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Saya setuju dengan Dr Maszlee. Jawatan ini juga bukan hak mutlak Tun Dr Mahathir,” kata Nik Nazmi ringkas di Facebooknya.
Maszlee hari ini berkata, rundingan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) haruslah tidak dengan keyakinan bahawa jawatan perdana menteri adalah hak mutlak Anwar Ibrahim.
BACA Rundingan PH jadi kerajaan semula: Tak harus PM-9 jadi hak mutlak Anwar
Menurut Maszlee, tanpa Dr. Mahathir peluang untuk PH mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis bahkan mustahil.
“Rundingan untuk ambil semula kerajaan daripada PN dan memilih Perdana Menteri ke-9 haruslah tidak dengan keyakinan bahawa PM ke-9 adalah hak mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar nombor.
“Hakikatnya jelas, tanpa Tun Dr Mahathir, peluang untuk mengambil semula kerajaan pun sangatlah tipis bahkan mustahil.
“Kalau PH hanya berharap kepada kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angka keramat 112,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
Maszlee mengimbas analogi yang pernah diberikan bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila ditanya mengapa perlu PAS bekerjasama dengan parti-parti lain seperti Semangat 46, PKR dan DAP.
“Beginilah. Umpama kita nak kait rambutan. Pokok rambutan tinggi. Galah kita tak sampai. Kalau kita cari sejengkal lagi galah, sambung dengan galah kita, Insha-Allah satu pokok rambutan kita boleh kait.
“Galah sejengkal inilah yang membantu kita dapat banyak lagi hasil,” ujarnya memetik kata-kata allahyarham.-SM