Jasad sekeluarga ditemukan menyayat hati berpelukan dalam kereta terjunam ke dalam sungai
KUALA KETIL: Mayat tiga beranak ditemukan dalam keadaan menyayat hati berpelukan di bahagian tempat duduk belakang kereta Proton Persona yang terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 3.30 pagi tadi.
“Pasukan PPDA yang melakukan selaman dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) berjaya mengesan kedudukan kereta di dasar sungai yang mempunyai kedalaman lebih 5 meter.
“Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk menaikkan kereta terbabit dengan menggunakan kren,” katanya.
Menurut Syufaat, sebaik membuka pintu, mayat Mashitoh Ibrahim, 37 tahun, ditemui bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7 tahun, dan Mohd Ziyad Haziq, 5 tahun, berada di bahagian tempat duduk belakang.
“Kita dapati cermin pecah dan berlaku kerosakan di bahagian hadapan kereta. Jadi, saya percaya, mengikut SAR yang kita buat, mangsa iaitu ibu dan anak-anak ini, mungkin telah berada di belakang.
“Tetapi, pada keadaan itu, kita memang tidak dapat pastikan sama ada mereka bertiga masih bernyawa atau pun tidak,” tambahnya.
Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, saksi Zulkifli Shaari, 60 tahun, berkata ketika kejadian dia sedang menangkap ikan bersama rakan lain di sungai terbabit.
Katanya, kereta itu menggelongsor lalu terjunam ke dalam air.
Dia dan rakan cuba membantu namun gagal kerana arus deras dan kereta itu tenggelam dengan cepat.
Sementara itu, adik mangsa, Mohd Asyraf Ibrahim, 34 tahun, memaklumkan sebaik mengetahui kemalangan yang menimpa kakak dan anak saudaranya pada jam 8.30 malam, dia bergegas pulang dari rumahnya di Ipoh.
Dia mengakui, mereka yang merupakan anak ketujuh dan kelapan dalam keluarga memang rapat sejak kecil dan berasa sedih kerana kini tiada lagi tempat mengadu dan bermanja.
“Memang terkejut dengan kejadian ini. Kita pun tak sangka, tetapi kita reda. Semua ini sudah tertulis (sebagai takdir),” katanya.