PENYANYI, Zizi Kirana atua nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, sah bergelar isteri kepada pelakon, Yusuf Bahrin, 29, dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil dalam majlis pernikahan yang diadakan secara tutup dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga sahaja.
Zizi menerima mas kahwin senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula tidak didedahkan.
Penyanyi lagu Eh itu turut meliahkan rasa syukur kerana majlis pernikahan berjalan dengan lancar walaupun dirancang pada saat akhir.
“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar walaupun kami hanya dapat tarikh dan lokasi nikah pada Jumaat lepas.
“Semuanya dilakukan saat-saat akhir! Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan… doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah.
“InsyaAllah kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan,” katanya.
Sebelum ini, pasangan ini dikatakan bakal berkahwin dalam masa terdekat namun kedua-dua mereka tidak memberikan pengesahan rasmi.
Dalam pada itu, Zizi berkata dia mula berkenalan dengan Yusuf pada awal tahun ini ketika sama-sama hadir menjalani program rakaman di televisyen.
“Pertama kali jumpa kenal Yusuf semasa rakaman program ATNMY, masa tu kami tak bertegur pun, masih belum ada perasaan sehinggalah selepas raya Aidilfitri lalu, dia menghubungi saya dan kami mula berkawan.
“Saya selesa berkawan dengannya dan nampak dia ikhlas dalam perhubungan ini dan hujung bulan Ogos kami rancang untuk terus berkahwin. Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami ini, jadi rasanya tak perlulah nak tunggu lama-lama,” katanya. -SM