Jannah Nick rayu henti tanya soal zuriat
SELEBRITI Janna Nick merayu agar orang ramai berhenti bertanya tentang soal anak. Katanya, dia dan suami, Dini Schatzmann, telah mencuba segala cara sepanjang perkahwinan mereka untuk mendapatkan zuriat.
Janna atau nama penuhnya, Nurul Jannah Muner, meluahkan rasa kecewa apabila menerima komen-komen negatif yang menyakitkan hati, termasuk tuduhan yang menyinggung suaminya kononnya memiliki hormon wanita lebih tinggi, sehingga disyaki menjadi punca mereka belum dikurniakan zuriat.
Dalam perkongsiannya, Janna berkata dia dan Dini telah menjalani pelbagai kaedah termasuk rawatan pensenyawaan in vitro (IVF) serta menjalani pemeriksaan kesihatan bersama-sama bagi mencapai impian menimang cahaya mata.
“Kami sudah cuba macam-macam ikhtiar untuk dapatkan anak. Bila orang tanya bila nak ada anak, saya sendiri tak tahu nak jawab apa. Saya hanya mampu bertanya kepada Allah bila rezeki kami untuk bergelar ibu bapa akan tiba.
“Bulan 10 ini genap setahun saya menjalani rawatan IVF, tetapi gagal. Saya dan Dini sangat memahami keadaan kesihatan masing-masing. Saya juga mula mengurangkan komitmen kerja dan tidak menerima tawaran yang memakan masa panjang. Semuanya demi mengubah gaya hidup, kerja, dan pemakanan,” katanya sambil menangis.
Janna, yang berusia 29 tahun, turut meminta orang ramai agar tidak lagi bertanya soal zuriat atau melemparkan komen negatif terhadap mereka.
Dia mendedahkan bahawa dia pernah meminta penyanyi Nabila Razali memijak jari kakinya sebagai satu usaha ikhtiar, mengikuti petua orang tua-tua yang kononnya boleh membantu untuk cepat hamil.
“Saya terdesak untuk mendapat anak. Orang beri petua, dan saya cuba. Saya pernah minta Nabila Razali pijak jari kaki saya. Namun, rezeki anak itu kerja Allah, bukan kita yang menentukan,” luahnya.
Sebelum ini, Janna juga pernah berkongsi perasaan kecewa dan tekanan apabila hasratnya untuk hamil masih belum tercapai meskipun sudah mencuba pelbagai cara, termasuk mengambil vitamin dan suplemen. Kesannya, wajahnya ditumbuhi jerawat besar, dan setiap bulan perasaannya bercampur-baur kerana kerap menganggap dirinya mempunyai simptom kehamilan.
Untuk makluman, Janna dan Dini mendirikan rumah tangga pada 10 Jun lalu dalam sebuah majlis di sebuah resort mewah di Pantai Chenang, Langkawi. Namun, sehingga kini, pasangan itu masih belum dikurniakan rezeki cahaya mata.