Jangan terpedaya dengan pencuri masa – Raja Muda Perlis
Golongan pelajar disarankan supaya memiliki dan mengikuti jadual belajar yang dibuat serta sentiasa mengawasi ‘pencuri’ waktu belajar iaitu angan-angan kosong, sikap bertangguh, leka dan malas.
Pada masa yang sama belajarlah mengikut waktu yang sesuai dengan diri sendiri atau “study according to your biological clock”. Bagaimanapun, para pelajar perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi, selepas membaca Al-Quran, berzikir, selepas beriadah, selepas berdoa dan sebagainya.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media MAIPs selepas berkenan berangkat singgah bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Azila Azali yang merupakan penerima ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’ di rumahnya di Mata Ayer baru-baru ini.
Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda turut menasihatkan supaya para pelajar tidak kira di peringkat mana sekalipun supaya janganlah membuang masa dengan belajar ketika badan terlalu letih atau terlalu mengantuk. Berikanlah ganjaran kepada diri selepas berjaya belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan-rakan atau sesuatu yang boleh menghiburkan hati sendiri buat seketika waktu dari masa ke semasa.