Nasional

Jangan ragui status vaksin COVID-19 – Mufti P.Pinang

ORANG ramai, khususnya umat Islam dinasihatkan agar mengetepikan perasaan ragu terhadap vaksin COVID-19  dan berpegang pada pandangan Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan hukumnya  harus dan halal digunakan oleh orang Islam.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut menasihati umat Islam agar tidak terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin, khususnya berhubung pengambilan vaksin COVID-19 bagi membendung penularan pandemik berkenaan.

“Agama Islam mewajibkan umatnya mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak daripada terkena jangkitan penyakit, malah memelihara nyawa termasuk antara matlamat syariah dan menolak pengambilan vaksin bererti mendedahkan diri kepada bahaya sedangkan sikap sebegini dilarang oleh syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya umat Islam juga tidak mempunyai sebab untuk terus meragui vaksin tersebut memandangkan ahli muzakarah yang memutuskan status dan hukum vaksin itu merupakan pakar dalam bidang profesional dan akademik yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Pada 4 Feb lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata  kerajaan akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama dari Februari hingga April untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan manakala fasa ketiga adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button