Jangan putarbelitkan kenyataan Ahmad Maslan – Najib
AHLI Parlimen Pekan (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kenyataan Ahli Parlimen Pontian (BN) Datuk Seri Ahmad Maslan berkaitan kes mahkamah yang melibatkan beberapa pemimpin UMNO tidak diputarbelitkan.
Najib berkata, apa yang sebut oleh Setiausaha Agung UMNO itu adalah mengenai ketidakadilan yang dibuat terhadap pemimpin UMNO yang dihadapkan ke mahkamah pada zaman Pakatan Harapan tetapi tidak diperbetulkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Jelas Najib, ketika pentabiran Pakatan Harapan beberapa pemimpin UMNO dikenakan tindakan mahkamah selepas didakwa menerima dana politik daripadanya.
Bagaimanapun beberapa Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti menyertai Pakatan Harapan seperti bekas Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak dikenakan tindakan walaupun mereka turut menerima wang daripadanya.
Najib berkata, Ahmad Maslan hanya mahu agar Kerajaan Perikatan Nasional membetulkan salahguna kuasa yang dilakukan semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.
“Mas Ermieyati dan Tok Pa menerima dana politik dari saya tapi mereka tidak diambil tindakan setelah lompat keluar UMNO dan dilantik menjadi menteri penuh pula.
“Ahmad Maslan dan Shahrir Samad juga menerima dana politik dari saya dan mereka pula diambil tindakan mahkamah sebab kekal dengan UMNO dan menjadi orang kena tuduh dalam mahkamah pula.
“Pembayar yang sama, akaun bank yang sama tapi ada penerima yang bebas untuk jadi menteri dan ada pula penerima menjadi orang kena tuduh dalam mahkamah,” kata Najib.
Najib menegaskan Kerajaan Pakatan Harapan telah menyalahgunakan kuasa dengan melakukan pendakwaan terpilih terhadap musuh politik sahaja.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah ketika ini patut memperbetulkan keadaan dengan mendakwa semua yang terlibat.
“Ini jelas salahguna kuasa kerajaan PH. Jika menerima dana dari saya adalah kesalahan jenayah walaupun penerima tidak akan tahu sumber asal dana tersebut maka sila dakwa.
“Dan jika mahu dakwa maka dakwalah semua. Jangan nampak sangat berat sebelah dan ada ketidakadilan yang berpunca dari kepentingan politik.
“Ini apa yang Ahmad Maslan sebut beehubung salahguna kuasa PH yang tidak diperbetulkan oleh PN. Jangan diputar belitkan,” kata Najib.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan kononnya Ahmad Maslan membuat kenyataan bahawa salah satu sebab utama UMNO tidak puas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana langkah PN untuk meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan para pemimpinnya.
“Satu lagi rasa tidak puas hati ialah bukan kerana jawatan sangat, tetapi kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tak wajar dibuat.
“Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy Thomas dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya.
Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?” soalnya dalam satu dialog dua hari lalu.
Katanya lagi, penerusan kes-kes tersebut menandakan kerajaan sekarang juga bertindak zalim, justeru PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru.-SM