SAYA lihat semua keliru dan memeningkan diri sendiri. Semua orang tahu politik hari ini politik yang terlalu dinamik dan sentiasa berubah-ubah dengan pantas dan kita yang kena sabar dan tahu menyesuaikan diri sendiri.
Tumbangnya Pakatan Harapan (PH) dan tertubuhnya kerajaan baharu kononnya Perikatan Nasional (PN) kerana hasil penyatuan UMNO-Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Rakyat khususnya orang Melayu sangat gembira dengan penyatuan UMNO dan Pas yang telah bermusuhan selama berpuluh tahun lamanya.
Bukan kerana UMNO dan bukan kerana Pas. MN sentiasa sehati sejiwa dan sentiasa dalam satu pasukan. MN hanya diikat dengan PIAGAM dan belum berdaftar secara sah.
Walaupun pada awalnya Pas tidak bersetuju menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO memujuknya (Pas) atas semangat setiakawan MN, Pas bersetuju.
Sepatutnya atas semangat MN juga, Pas bersama UMNO tidak menyertai PN tetapi kali ini sebaliknya. Ini bukan soal ego atau UMNO sombong. Ini soal UMNO ada prinsip dan UMNO sudah berkali-kali dipermainkan oleh Bersatu yang mana, sampai satu tahap, kesabaran UMNO sudah tidak boleh bertahan lagi.
Semua orang UMNO tahu segala muslihat dan tipu helah PPBM. Bukan sekali, berkali-kali kena. Cukuplah tu. Dia (PBBM) hanya ada Perdana Meneri (PM) dan menggunakan sepenuhnya kuasa PM.
Kita (UMNO) pula ada apa? Kita ada ahli dan jentera. Jadi kita gunakanlah sepenuhnya. Apa nak risau sangat? Pilihan Raya Umum (PRU) pun belum lagi.
Pas belum kenal dan mendalami pemimpin-pemimpin PBBM. Pas hanya melihat dari sudut mana yang lebih selamat pada pandangan mata kasar.
Pas tidak peduli perasaan hati UMNO hendak bersama-sama dengan pemimpin lompat dari UMNO dalam PBBM.
UMNO kalah setelah memerintah bertahun-tahun lamanya. Pastilah itu menyakitkan hati UMNO terhadap ‘katak-katak’ yang melompat ini, amat mendalam.
Sakitnya Tuh Di Sini…Apatah lagi kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu masih terasa kerana persepsi dan fitnah PH pada waktu itu dan janji-janji manis PH waktu PRU-14 telah memperdaya para pengundi sehingga tumbangnya BN.
Tidak perlu kita memeningkan kepala kita sendiri memikirkan kenapa Pas masuk PN, kenapa PBBM nak masuk MN dan sebagainya.
MN hanya persefahaman dalam Piagam bukan didaftarkan lagi. Kalau PN didaftarkan biarlah dia, Pas, MIC dan lain-lain parti hendak sertai. Biarlah.
Yang paling penting ialah pembahagian kerusi dapat diselesaikan dengan harmoni. Bukan UMNO yang dilabelkan ego.
PBBM juga jangan tamak dan kenalah terima hakikat atau realiti. Dari parti yang menang kecil, membesar dengan mengutip Ahli-Ahli Parlimen lain masuk PBBM.
Realitinya PBBM tiada akar umbi dan tiada ahli. Itu sebabnya beriyaiya untuk didaftarkan supaya PRU nanti, mereka boleh menggunakan logo PN.
Biarlah buat pertama kalinya dalam PRU, Pas guna logo lain daripada logo PAS dan mungkin MIC pun mahu mencuba menggunakan logo lain selain logo dacing (BN).
Satu lagi paling penting, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan secara konsisten: apapun keadaan dan gabungan, dalam PRU-15, UMNO akan tetap menggunakan logo BN.
Ini jelas dan sangat tepat. Yang penting elakkan pertembungan tiga penjuru dan jangan berpecah belah semasa PRU-15 nanti.
Saya kongsikan sedikit berkesempatan duduk bersama Pensyarah dan beberapa pegawai kerajaan semalam.
Mereka mengesahkan BN jugalah yang terbukti berjaya mentadbir negara dengan aman dan harmoni.
Jadi, mereka semua tidak berani mencuba parti lain selain BN. Cukuplah sekali mencuba tukar kerajaan selain daripada BN. Malah mereka respect ketahanan mental Datuk Seri Naib Tun Razak, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO yang ternyata sabar dan kental menghadapi dugaan amat besar.
Bak kata mereka, kena hujan ribut sampai keluar petir sabung menyabung pun, mereka tak lari dan masih bertahan mempertahankan UMNO. Jadi, apa nak risau kita memeningkan kepala kita sendiri?
Pesanan buat PBBM: Kamu ada PM tetapi kamu tiada akar umbi dan ahli. Hormatilah UMNO dan BN yang mendokong kuat dari mula sehingga kini. Jangan pusing banyak sangat sehingga terbelit diri sendiri.
UMNO boleh kawal parti tapi UMNO tidak mampu kawal ahli yang terbukti ramai. Jangan guna ‘ilmu kotor’ pecahkan dalaman UMNO dan Pas. Akhirnya Allah tarik balik nikmat seperti Allah tarik balik nikmat 22 bulan PH jadi Kerajaan.
Pesanan buat Pas: Bergabung dengan UMNO dalam MN, barulah dapat rasa jadi Kerajaan. Sumpah bai’ah- Ingat dan hargailah isteri pertama walaupuan sudah dapat isteri kedua. Hayati lagu Teman Sejati di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semasa menandatangani Piagam MN.
Pesanan buat UMNO: Apabila kita kalah dan jatuh setelah 60 tahun, Allah beri kita sebahagian kerajaan. Bersyukurlah. Allah belum beri semua sebab Allah nak lihat UMNO berubah dan belajar mengalah sedikit serta turunkan sedikit ego. Insya-Allah, UMNO dan BN akan kembalikan semula sepenuhnya menerajui Kerajaan. – SM