Nasional

Jangan hentikan SAR KV Dai Cat 06, keluarga terus mengharap

Kehilangan kapal kargo milik Malaysia sejak 1 Januari

KELUARGA seorang daripada kru kapal kargo, MV Dai Cat 06  yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu merayu agar operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan  oleh agensi keselamatan negara ini.

Sandra Littor, 32, yang juga kakak kepada kru Derrent Littor berkata, dia dan ahli keluarganya yakin adiknya bersama empat kru kapal lain yang dilaporkan hilang itu masih memerlukan bantuan.

Beliau berkata, ketika ini pencarian SAR kapal kargo MV Dai Cat 06 dihentikan oleh pasukan keselamatan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.

“Operasi SAR ditamatkan dan hanya rondaan rutin dijalankan di perairan Indonesia serta Malaysia. Ini bermakna tiada lagi SAR dan hanya akan aktifkan semula SAR sekiranya terdapat apa-apa petanda.

“Kami sekeluarga mengharapkan supaya SAR diteruskan kerana kami sentiasa positif bahawa adik dan empat kru lain sekarang ini sangat-sangat memerlukan bantuan,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Melawa KKIP.

Sementara itu, keluarga Derrent turut melahirkan kekesalan mereka terhadap pemilik dan wakil syarikat perkapalan kerana sehingga kini tidak menghubungi keluarga kru kapal untuk memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, keluarga berharap syarikat MV Dai Cat 06 dan wakil syarikat terbabit dapat tampil bagi memberi penjelasan dan kerjasama sepenuhnya.

“Kami difahamkan, kapal kargo sebelum ini dibenarkan memunggah besi walaupun tidak berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Kami mahu pihak yang terbabit bertanggungjawab terhadap kapal kargo itu dan tampil menjelaskan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sandra berkata, mereka hanya mengetahui insiden kehilangan kapal kargo itu daripada seorang rakan sebelum berusaha sendiri untuk mendapatkan maklumat daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya lagi, keluarga difahamkan setakat ini hanya ada enam laporan polis dibuat iaitu satu daripada ejen kapal kargo di Lumut dan lima laporan lagi daripada keluarga kru kapal.

Sementara itu, seorang lagi kakak Derrent, Lyli Littor, 28, berkata, kali terakhir dia menghubungi Derrent pada pukul 1.47 petang, 1 Januari lalu.

Katanya, ketika itu adiknya memaklumkan berada di perairan Singapura dan sentiasa memakai jaket keselamatan.

“Derrent beritahu dia sentiasa memakai jaket keselamatan menyebabkan kami sekeluarga bimbang lebih-lebih lagi dengan kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, Derrent mula bekerja di syarikat MV Dai Cat 06 pada 28 Oktober lalu dan tamat perkhidmatan pada April tahun ini.

“Adik (Derrent) bekerja di syarikat perkapalan selama enam bulan untuk menimba pengalaman dan mendapatkan sijil yang lebih tinggi,” katanya.

Pada 10 Januari lalu, media melaporkan kehilangan kapal MV Dai Cat 06 yang didedahkan APMM.

MV Dai Cat 06 yang keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember tahun lepas. – FMT – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button