Nasional

Jangan biar orang politik, perompak laksana pakej Prihatin – Anwar

JANGAN serahkan pelaksanaan bantuan pakej Prihatin yang diumumkan oleh kerajaan kepada orang politik yang mempunyai rekod buruk dan merompak bagi mengelakkan ketirisan.

Itu reaksi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pakej ransangan bernilai RM250 bilion yang diumumkan oleh kerjaan hari ini,

Katanya, secara keseluruhan beliau gembira dengan pakej Prihatin yang diumumkan oleh kerajaan itu.

“Kita harus teliti peringkat pelaksanaan, apakah pelaksanaan itu tidak mengalami ketirisan dan kebocoran.

“Jangan diserahkan (pelaksanaan) kepada orang-orang politik atau pegawai yang mempunyai rekod yang buruk mencuri dan merompak,” katanya mengulas pembentangan pakej ransangan itu yang disiarkan secara langsung melalui Facebooknya.

Related Articles

Petang tadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan perdana menteri petang tadi merangkumi Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion.

Anwar mengakui pakej Prihatin itu bersifat menyeluruh, namun perlu diteliti supaya tidak berlaku keciciran.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya pakej itu dibawa ke Parlimen untuk bahas dan ditambah baik bagi mengangkat ekonomi negara.

“Di negara demokratik, Korea, Jepun, Australia dia serahkan juga belanjawan ini untuk dibahas dan diawasi di Parlimen supaya ada kebertanggungjawaban.

“Sekarang ini bila tambah RM250 bilion, dari mana sumber? Bagaimana boleh bayar hutang, bagaimana boleh diperinci pelaksanaanya.

“Saya syor perdana menteri beri pertimbangan serius, beri ruang kepada semua pihak untuk bahas dan beri sokongan dengan maksud memperbaiki,” katanya.

Anwr turut mendakwa ada kelemahan dalam pengumuman itu apabila bayaran pinjaman dibenar untuk ditangguhkan tetapi kadar faedah tetap dikenakan.

Katanya, Bank Negara perlu mengkaji semula langkah itu supaya kadar faedah dapat diketepikan.

“Saya anggap satu kelemahan besar kerana kadar faedah dikenakan, maknanya orang tidak ada meniaga, tak ada keuntungan, melalui kerugian, cukup enam bulan kena bayar balik hutang dengan faedah, ini harus diteliti semula oleh BNM,” katanya.

Petang tadi Muhyiddin mengumumkan pakej Prihatin berrjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada anda semua.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Manakala RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Pakej Prihatin akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button