Nasional

Jangan beri tanggungjawab kepada golongan terpalit rasuah – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyeru umat Islam supaya tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada golongan yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.
Titah baginda, masyarakat Islam perlu dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali golongan yang berimej mungkar, munafik, lemah moral, rendah akhlak serta sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik umat.
Sultan Nazrin bertitah, kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung kepada kejayaan umatnya dan untuk itu setiap orang Islam bertanggungjawab mewarnakan Islam dengan gemerlapan dan mengisinya dengan kandungan yang meyakinkan.
“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam. Islam akan lebih dihormati dan Islam akan terus dimuliakan, jika majoriti penganut Islam memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
“Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus.
“Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkaya generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan, diintegrasikan dan digabungkan,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di Kuala Lumpur, hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, kegemilangan Islam pada satu masa dahulu telah meninggalkan legasi dan idealisme tinggi, namun kemajuan sesuatu bangsa itu tidak boleh hanya bergantung kepada dua perkara berkenaan sahaja.
Sebaliknya, baginda bertitah naratif masa hadapan untuk mengubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif, hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris.
“Kelangsungan (survival) umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan kaedah menakut-nakutkan umat Islam sehingga mereka mempunyai prasangka, mempunyai prejudis, tidak selesa, merasakan diri sebagai orang asing (alien) apabila berada dalam persekitaran yang dihadiri atau dikelilingi oleh bukan Islam,” titah baginda.
Di samping itu, baginda bertitah, Islam juga bukan sekadar percakapan dan retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk yang dipaparkan, malah agama itu juga bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji dan memberikan harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi.
“Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata, melalui dukungan para penganutnya. Islam tidak akan dapat membuktikan relevansinya sehingga masyarakat Islam berjaya menjelmakannya dalam budaya hidup harian.
“Islam itu perlu dirasai dan diperlihatkan melalui pengisian, perbuatan, pencapaian dan kejayaan penganutnya. Keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah umat, bukan pada apa yang diuar-uarkan atau dimegahkan melalui kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam yang sudah menjadi sejarah,” titah baginda.
Sultan Nazin menyeru umat Islam agar berani belajar daripada kesilapan masa lalu, yang cenderung memilih jalan pintas untuk menyelesaikan sesuatu masalah kerana mahu mendapat kemenangan segera.
Baginda bertitah penyelesaian yang diformulasikan untuk mendapatkan kemenangan segera akan berkesudahan dengan kaedah penyelesaian yang tidak kukuh asasnya dan amat sementara sifatnya.
Sementara itu, Sultan Nazrin turut menitahkan ahli-ahli MKI agar menghayati dan mempelopori semangat syura selain berusaha sebaik mungkin untuk menghargai elemen persamaan dan menjauhi sikap yang membesar-besarkan elemen perbezaan.
“Perlu diusahakan jambatan penghubung untuk mempertemukan pendirian dan tafsiran yang berbeza agar dapat dielakkan berlakunya pertelingkahan, apatah lagi pertelingkahan secara terbuka yang bersifat konfrontasi sehingga boleh menjadi punca keretakan hubungan dan pada akhirnya mengakibatkan umat Islam berpecah,” titah baginda. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button