Jana Wibawa: Siasatan terhadap Muhyiddin masih diteruskan – SPRM
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan dengan program Jana Wibawa masih dijalankan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan terhadap Muhyiddin masih belum diserahkan kepada peguam negara.
“Siasatan masih dijalankan. Jadi, itu saya serah pada peguam negara.
“(Kertas siasatan) belum lagi (diserahkan pada peguam negara)..masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.
Mengulas lanjut, Azam berkata, beliau juga tidak mengetahui bilakah tempoh kertas siasatan terhadap Muhyiddin akan siap.
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin berkata, beliau dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung bantuan rangsangan Covid-19 Jana Wibawa dan beliau bukan suspek dalam siasatan.
Menurutnya, Jana Wibawa, pakej yang bertujuan membantu kontraktor Bumiputera, dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan. – SM