Nasional

Jaminan kebebasan berniaga terkawal, dipantau PBT – Annuar

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan memberi jaminan akan memastikan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang bermula Ahad ini di ketiga-tiga wilayahnya, dilaksanakan dalam keadaan terkawal di bawah pemantauan pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Menteri wilayah
Annuar Musa

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya akan memastikan peniaga terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak menyumbang kepada masalah kesesakan dan kebersihan di bandaraya.

“… bila saya kata bebas berniaga, ia bukan bermakna semua orang boleh buat sesuka hati tanpa mengikut peraturan atau SOP, seolah-olah tiada undang-undang.

“Mereka masih perlu memohon lesen sementara (selama enam bulan) yang akan dikeluarkan secara percuma, malah butiran mereka juga direkodkan,” katanya dalam sidang media menerusi Facebook.

Annuar sebelum ini mengumumkan memberi kebenaran kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai mulai Ahad ini. Ia menimbulkan pelbagai reaksi beberapa pihak yang bimbang jika dasar baharu itu disalah guna dan memberi kesan kepada keselamatan awam.

Annuar juga meminta masyarakat dan pihak tertentu untuk tidak skeptikal dan menegaskan inisiatif itu hanya untuk tempoh sementara, bagi membantu golongan terjejas akibat COVID-19.

“Sekiranya ada peniaga melanggar SOP dan peraturan atau menimbulkan kekacauan, mereka akan dinasihatkan (oleh PBT) sama sahaja seperti keadaan sebelum ini, bezanya dalam tempoh ini PBT tidak akan membuat rampasan barangan,” katanya.
Sementara itu dalam sidang media berasingan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, pihak PBT telah menggariskan beberapa SOP dalam memastikan aspek keselamatan dan kebersihan lokasi perniagaan.
Katanya antara SOP ditetapkan adalah lokasi gerai tidak menghalang laluan pejalan kaki, tidak berada di simpang jalan dan tidak menggunakan struktur kekal yang boleh mencacatkan keindahan bandar raya.

“Peniaga juga akan menandatangani satu aku janji selain perlu memaklumkan tentang jenis barangan yang dijual,” katanya.

Terdahulu, Santhara menyampaikan sumbangan bakul makanan untuk 20 keluarga miskin bandar sempena Deepavali yang bakal diraikan Sabtu ini menerusi konsep pandu lalu di Menara DBKL.  – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button