Nasional

Isma persoal kenyataan Saravanan berhubung peruntukan khusus sekolah vernakular

SEKOLAH Vernakular tidak sepatutnya diberi bantuan atau peruntukan khusus seperti diumumkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan Murugan kelmarin.

Ini kerana peruntukan yang diumum dalam belanjawan dinyatakan sebagai khusus kepada sekolah bantuan penuh kerajaan termasuk vernakular.

Justeru, kenyataan Saravanan memaklumkan peruntukan kepada sekolah vernakular itu dibantah, malah ia juga disifatka seperti melangkaui Menteri Kewangan.

“Saya pelik tetapi pada masa yang sama ‘kagum’ pada Menteri bukan Melayu seperti YB M. Saravanan ini.

“Beliau bukanlah Menteri Pendidikan, bukan juga Menteri Kewangan tetapi adalah Menteri Sumber Manusia yang tiada kena mengena dengan sekolah vernakular.

“Tetapi beliau tidak menjadikannya satu halangan untuk bersuara mengenai sekolah vernakular.

“Lebih mengagumkan lagi, beliau bersuara seolah-olah mewakili dan mendahului keputusan Menteri Kewangan pula.

“Kerana kita belum lagi dengar mengenai keputusan untuk meminda belanjawan bagi peruntukan sekolah vernakular dari Menteri Kewangan sendiri.”

Demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, hari ini yang mempersoalkan keperluan peruntukan khusus kepada sekolah vernakular.

Terdahulu, dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan RM50.4 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi peningkatan kualiti pendidikan serta penyelenggaraan dan pembaikan sekolah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM800 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan penuh kerajaan untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan.

SARAVANAN MURUGAN

Peruntukan RM50.4 bilion itu adalah yang terbesar kepada KPM kerana merupakan 15.6 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2021.

Justeru dengan jumlah sebesar itu disifatkan tidak wajar kerajaan memperuntukan satu jumlah khusus kepada sekolah vernakular apatah lagi sekolah persendirian Cina.

“Saya difahamkan hanya sekolah persendirian Cina sahaja tidak diperuntukkan sebarang dana dalam belanjawan kali ini.

“Di mana peruntukan bagi sekolah-sekolah vernakular di bawah kelolaan kerajaan (SJKC dan SJKT) termasuk sekali dalam peruntukan sekolah kerajaan, cuma tidak dinyatakan secara khusus.

“Mustahil jika, beliau tidak tahu, lebih-lebih lagi beliau seorang menteri yang senior.

“Saya harap ini bukannya satu muslihat atau alasan untuk menambahkan lagi jumlah peruntukan bagi sekolah vernakular atas nama kononnya ‘satu peruntukan khusus’ kemudiannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut memaklumkan Isma sedang mencabar kedudukan sekolah vernakular dalam Perlembagaan Persekutuan di mahkamah.

Penfailan di mahkamah itu dibuat apabila dilihat bertentangan dengan konsep perpaduan dan tidak memupuk semangat tersebut yang sepatutnya bermula dari alam persekolahan.

“Untuk pengetahuan anda, pihak kami telah mencabar keabsahan sekolah vernakular di sisi perlembagaan di mahkamah, dan kes ini sedang berjalan.

“Dengan harapan kita semua menikmati sistem satu aliran. Maka, tidak lagi timbul isu peruntukan sekolah vernakular sebegini lagi,” tegasnya. – SM

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button