Mahkamah

Jamal Yunos mohon batal saman fitnah dibuat oleh Yeo Bee Yin

Saman berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor

KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya oleh bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin  berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Jamal diwakili peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad.

BERNAMA melaporkan, peguam Sankara Nair yang mewakili Bee Yin semasa mengesahkan perkara itu berkata, permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan defendan (Jamal) pada 25 Jun lalu atas alasan, saman itu terlalu awal kerana siasatan sedang dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mahkamah menetapkan 23 Julai ini bagi pendengaran permohonan membatalkan saman itu,” katanya kepada media selepas pengurusan kes yang berlangsung di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Rozana Ali Yusof.

Related Articles

Sankara  berkata, hakim turut menetapkan 9 November depan untuk mendengar saman itu sekiranya mahkamah menolak permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

Pada 14 Jun 2017, Bee Yin, selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Bee Yin yang merupakan Ahli Parlimen Bakri mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu telah diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.

Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal antara lain, memberi tanggapan yang beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button