JALAN utama yang menghubungkan Kota Belud dan Kota Kinabalu serta beberapa daerah dan kawasan berhampiran masih ditutup kepada kenderaan ringan.
Ia berikutan paras air yang masih tinggi di atas jalan terbabit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Misran Bisara berkata setakat ini, jalan terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 meter.
Pada kedalaman tersebut, hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang boleh melepasinya.
“Keadaan masih berbahaya kepada kenderaan kecil,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, dilaporkan ratusan kenderaan terkandas sejauh tiga kilometer hingga ke bulatan utama Kota Belud, kira-kira 74 kilometer dari sini.
Ia berikutan selepas jalan utama daerah itu yang menghubungkan beberapa daerah lain dinaiki air susulan hujan lebat berterusan pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Datuk Richard Jomiji berkata hampir 95 peratus jalan raya terjejas oleh banjir dan tanah runtuh ekoran hujan lebat pada Sabtu sudah boleh dilalui.
Namun beberapa jalan kecil dikecuali di Tenom dan Papar masih ditutup.
Beliau berkata selain kerja-kerja pembersihan di jalan yang terlibat, JKR turut mengambil beberapa langkah lain termasuk memasang papan tanda dan lampu amaran di kawasan berisiko tanah runtuh, menutup kawasan hakisan cerun dengan kanvas serta melencongkan aliran air.
Ekoran hujan lebat itu, sebanyak 10 daerah di negeri ini terjejas oleh banjir iaitu Kota Belud, Tuaran, Putatan, Penampang, Papar, Beaufort, Keningau, Tenom, Kota Marudu dan Pitas. – BERNAMA