Nasional
Jakim pantau, pastikan kupasan modul hadis 40 sesuai pemahaman murid – Fadhlina
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memantau syarah atau kupasan hadis dalam pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bagi memastikan konteks dan pemahaman itu sampai kepada murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perkara itu sangat penting bagi mengelak timbul isu di kemudian hari seperti salah tafsir hadis, sekali gus menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat.
“Dari segi pemantauan keberkesanan penyampaian modul ini juga akan dilaksanakan melalui pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri secara berkala,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) di Dewan Rakyat hari ini.
Taufiq ingin tahu mengenai langkah dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memantau pelaksanaan modul berkenaan bagi memastikan ia tidak disalah tafsir dan jangka masa untuk modul berkenaan disiapkan sepenuhnya.
Pada 19 Ogos lepas, KPM melancarkan modul hadis itu yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, antara lain untuk menerapkan kefahaman agama dan memupuk semangat kasih sayang khususnya dalam kalangan guru dan pelajar beragama Islam. – SM