Agama

JAKIM lapor Polis, SKMM terhadap individu persenda Islam di media sosial

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap seorang individu yang didakwa memuat naik kandungan di media sosial yang mempermain dan mempersendakan ajaran Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, dalam satu kenyataan, menegaskan bahawa tindakan itu diambil bagi memastikan individu terbabit dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

“JAKIM memandang serius tindakan individu tersebut yang memuat naik kandungan yang jelas mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam. Kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.

Menurut Sirajuddin, kandungan yang kini tular di media sosial bukan sahaja mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat, malah berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.

“Oleh itu, semua pihak digesa agar menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan, dan ketegangan dalam masyarakat. Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, kita harus mengamalkan sikap hormat-menghormati serta menjaga adab,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa keamanan dan kesejahteraan negara hanya dapat dikekalkan melalui sikap saling menghormati serta memahami antara satu sama lain.

Setakat ini, individu serta kandungan media sosial yang dimaksudkan belum dapat dipastikan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button