Nasional

JAIS, agensi terlibat siasat punca kematian pelajar

Merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung kematian seorang pelajar akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah agama di Serdang, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil maklum dan telah melaksanakan tindakan segera berhubung kejadian tersebut.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, JAIS bersama beberapa agensi iaitu Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor/Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Cawangan
Elektrik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak sekolah telah turun ke lokasi kejadian pada 19 Disember 2024.

“JAIS kini sedang menunggu laporan rasmi siasatan daripada Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor berhubung keselamatan bangunan terlibat untuk digunakan.

“JAIS juga akan meminta laporan agensi teknikal lainnya dan dari pihak PDRM untuk tindakan lanjut JAIS,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, akibat kejadian ini, pada 19 Disember 2024, JAIS telah pun mengarahkan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah tersebut dihentikan serta merta bagi mengelak kemalangan berulang dan bagi memudahkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, satu laporan khas akan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam masa terdekat.

” Untuk makluman, Sekolah KAFA Integrasi Manbaul ULUM, Taman Sri Serdang, Seri Kembangan adalah sekolah Islam yang didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan) 2001 yang ditadbir oleh Lembaga Pengurusan Sekolah.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membantu guru agama dan fardu Ain melalui skim guru KAFA JAKIM, manakala Kerajaan Negeri membantu dalam pemberian buku teks percuma melalui Skim Pinjaman Buku Teks.

“JAIS dan Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk memastikan murid-murid belajar mengikut kurikulum agama yang ditetapkan dan premis sekolah sentiasa dalam keadaan selamat serta selesa untuk pelajar dan guru.

“Bangunan yang dibina atau disewa bagi tujuan ini adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

“JAIS mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terlibat atas kejadian yang berlaku dan berharap semua pihak Lembaga Pengurusan Sekolah KAFA atau sekolah agama swasta di Negeri Selangor sentiasa memantau perkara-perkara yang melibatkan keselamatan guru dan pelajar di sekolah dan mengambil tindakan segera,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button