Nasional

Jadikan Itali `cermin’ patuhi, perketat PKP

DALAM satu klip video, seorang datuk bandar di Itali mengingatkan: ”Saya dapat tahu ada di antara kamu yang ingin mencampakkan topi graduasi (tanda gembira) selepas tamat pengajian. Kami akan hantar polis.

Semalam Jumaat 27 Mac (2020), negara itu melaporkan angka kematian tertinggi sejak wabak COVID-19 itu bermula, 919. Kes melepasi China.

Itali kini mempunyai lebih banyak kes coronavirus berbanding China selepas jumlahnya meningkat kepada 86,498 (semalam).

Jumlah kematian mencecah 9,134 orang. Ia angka kematian tertinggi pernah dicatatkan oleh mana-mana negara sejak berlaku wabak koronavirus.

Negara itu melaporkan kes pertama coronavirus pada akhir Januari.

Pekerja penjagaan kesihatannya melaporkan kekurangan katil hospital, peralatan pelindung diri dan peningkatan jumlah kakitangan perubatan yang dijangkiti.

Warga tua menghadapi risiko gejala coronavirus yang teruk, sesuatu yang tidak menghairankan kerana Itali adalah rumah kepada salah satu penduduk tertua di dunia – kedua selepas Jepun.

Doktor-doktor di negara itu dalam beberapa kes dipaksa untuk memutuskan siapa yang perlu dirawat dahulu. Rakaman video dari hospital menunjukkan pekerja perubatan berjuang untuk menangani jumlah pesakit.

Ketika Amerika Syarikat waktu ini mencatat bilangan kes koronavirus tertinggi di dunia melebihi 92,000, Itali di kedudukan kedua.

Dengan 919 kematian dalam sehari, ia memecah rekodnya sendiri sejak 21 Mac ketika mencatat 793 kematian, lapor agensi berita tempatan Corriere della Sera.

BACA:

Jumlah kes di Amerika Syarikat masih terbesar di dunia pada 92,000 – melampaui jumlah kes di China pada 26 Mac – walaupun angka kematiannya jauh lebih rendah daripada Itali, dengan 1,300 kematian dicatatkan.

China mengesahkan lebih 81,800 kes dan hampir 3,300 kematian, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Johns Hopkins University.

Krisis COVID-19 di luar pusat wabak ini bermula di Wuhan, yang telah pulih, dijangka merebak lebih dahsyat menghinggapi ratusan ribu penduduk dunia jika iktibar di Itali dipandang remeh.

Walaupun agak terlewat, Itali telah melancarkan beberapa langkah penguatkuasaan lockdown yang ketat.

Penduduk kini tidak boleh keluar dari rumah mereka tanpa sebab yang membenarkan mereka berbuat demikian. Langkah-langkah itu dikuatkuasakan oleh polis dan tentera negara itu.

Di negara lain di Eropah, Sepanyol mencatatkan lebih 4,800 kematian, bererti angka kematiannya juga mengatasi China.

Perancis mempunyai lebih 29,500 kes, sementara di Jerman sekurang-kurangnya
47,300.

Dengan apa yang berlaku di Eropah, moralnya – rakyat Malaysia harus patuhi, perketatkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button