Nasional

Jadikan bahasa isyarat sebagai bahasa ketiga-Senator Ras Adiba Radzi

AHLI Dewan Negara yang baharu dilantik, Senator Ras Adiba Radzi mencadangkan agar bahasa isyarat dijadikan bahasa ketiga dan perlu diterapkan dalam modul pendidikan di negara ini.

Cadangan Senator Ras Adiba ada benarnya dengan rational, bahasa isyarat boleh dipelajari di peringkat sekolah dan memudahkan masyarakat di negara ini untuk berkomunikasi dengan golongan istimewa berkenaan.

Ras Adiba berkata, mempelajari bahasa isyarat bermula dari peringkat sekolah dilihat penting bagi membentuk komuniti inklusif antara orang kurang upaya (OKU) dan individu atau golongan normal.

Beliau menegaskan, apabila bahasa isyarat dijadikan bahasa ketiga bermula dari peringkat pra sekolah atau sekolah rendah, semua akan tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan kalangan mereka yang pekak dan bisu.

Malah kata beliau, kelebihan itu nanti boleh dijadikan sebagai satu kerjaya dengan menjadi juru bahasa dan sekaligus, secara perlahan-lahan akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra OKU.

Related Articles

Sememangnya selepas menyediakan infrastruktur yang memudahkan golongan OKU terutamanya pengangkutan awam dan bangunan yang dilengkapi dengan kemudahan untuk golongan OKU, bahasa isyarat dirasakan boleh dijadikan sebagai bahasa ketiga.

Sekiranya cadangan Senator Ras Adiba ini menjadi realiti maka jurang yang wujud di antara golongan OKU cacat pendengaran dan bisu dengan golongan normal dapat dikecilkan.

Lontaran cadangan Ras Adiba itu dinyatakannya ketika hadir pada Program Pemberian 50 Kerusi Roda Percuma anjuran Yayasan Suara Rakyat Malaysia di Rukun Tetangga Batu Gajah, Melaka, siang tadi.

Ras Adiba juga berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan melibatkan semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan bagi tujuan tersebut (cadangan menjadikan bahasa isyarat sebagai bahasa ketiga).

“Saya percaya untuk memperkasakan golongan OKU, kita mesti bekerja sebagai satu pasukan dan melibatkan semua kementerian, bukan sahaja di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU). Ia pasukan yang memerlukan penglibatan semua tegas beliau.

Secara umumnya, bahasa isyarat adalah kaedah komunikasi menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat.

Dalam masa yang sama, Ras Adiba turut menzahirkan hasratnya untuk memperkasakan akta berkaitan OKU agar permasalahan yang dihadapi oleh golongan itu dapat diselesaikan.

“Akta OKU kini tidak dikuatkuasakan sepenuhnya. Sebagai contoh parkir untuk OKU. Ada pengguna yang tidak kisah dan tidak akur dengan petak yang disediakan untuk pemandu OKU berikutan tiada sebarang tindakan yang diambil.

“Begitu juga dengan spesifikasi bangunan yang masih lagi ada yang tidak menitik beratkan keperluan golongan ini.

“Selain itu, isu pengambilan pekerja perlu dilihat apabila tiada penguatkuasaan seperti kuota atau peratusan pengambilan pekerja OKU di bahagian korporat dan bukan korporat menyebabkan ada segelintir golongan ini yang ketinggalan,” ujar Ras Adiba. – ASTRO AWANI – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button