Tengah tular satu gambar mak cik tua yang meratap kesedihan dalam media sosial kononnya dibuang anak pada penghujung usia.
Tidak lama kemudian, tular pula satu kenyataan menantunya menerusi hantaran Facebook yang mendakwa mak cik tersebut adalah punca sebenar.
Punca yang menyebabkan anak-anak terpaksa lari akibat sikap pilih kasih seorang ibu dan memaki orang yang menyayangi semasa ‘masih gagah’.
Memang ramai yang komen, ibu tetap ibu. Syurga tetap di bawah telapak kaki ibu tetapi terfikirkah kita kenapa sampai boleh jadi begitu?
Bagi pembaca yang mempunyai ibu atau mertua yang baik, Alhamdulillah namun bagaimana dengan anggota keluarga atau pasangan yang lain?
Anda terselamat kerana tak berdepan dengan spesis mak atau mertua yang memaki hamun dengan perkataan kurang enak antaranya :
“Anak jenis apa kau ni? Cuba tengok abang kakak kau.. semua kerja bagus.. tiap-tiap bulan boleh kirim duit dekat mak..”
“Bodoh punya menantu.. kau tak reti ke nak jaga anak kau ni? Dahlah habis bersepah barang dalam rumah ni, menangis macam tak ingat dunia!”
“Kau kena ingat sikit yang kau tu bukan pilihan aku. Kau nak kahwin dengan anak aku. So tak payahlah peduli dengan aku.”
Macam dialog dalam drama tempatan, kan? Sudah memang itu realitinya. Dialog ini tak terhasil tanpa pengalaman dari masyarakat yang sebenar.
Anak ini sayang pada mak ayahnya tetapi kalau beginilah ucapan yang perlu dihadap tahun demi tahun, emosi yang stabil pun boleh jadi rosak.
Maka ada sebab kenapa anak menjauhkan diri, menghilang terus. Kerana tidak mahu ibu terus lancang dengan ucapan yang mengundang dosa.
Cuma kasihan pada hujung usialah.. kau ingat semua anak yang kaya dan selalu kirim duit sanggup korbankan nikmat dunia yang tengah mereka perolehi?
Memang wajarlah kalau kau dihantar ke rumah orang-orang tua sebab semasa ‘kuat’, sebagai ibu bapa kau gagal bina ikatan kasih-sayang dalam keluarga.
Kesimpulannya, berbuat baiklah dan jangan ada sikap pilih kasih antara anak semasa hayatnya. Ini kerana anak-anak tetap jadi bekalan untuk kita melangkah ke alam sana.