Berita

Penjara tidak terima titah tambahan YDPA

Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong berkaitan tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya, beberapa jam selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah itu.

Saifuddin berkata, surat bertarikh 2 Feb 24 kepada Jabatan Penjara untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan hanya menyebut berkaitan pengurangan hukuman dan denda.

“Tidak ada yang menyebut tentang tahanan rumah,” katanya di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) petang ini.

Mahkamah Rayuan tengah hari tadi membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah tambahan itu.

Najib bergantung kepada afidavit anaknya, Nizar serta surat dari istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah itu.

Titah tambahan itu adalah tambahan kepada titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Najib disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button