JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan melakukan siasatan terperinci berhubung majlis bertemakan “Arabian Dangdut Night” yang memaparkan video nyanyian individu dipercayai lelaki menyerupai wanita berpakaian seksi yang tular di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, siasatan adalah berhubung pelanggaran Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang mula diperkenalkan pada 2020.
Beliau berkata, kerajaan negeri sangat sensitif dengan perkara seperti itu yang menyinggung perasaan umat Islam.
“Harap ia akan menjadi iktibar untuk semua pihak terutama pengurusan hotel di Terengganu supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.
Video berdurasi 25 saat memaparkan nyanyian individu terbabit pada 25 Mac lalu dikecam warganet kerana berlaku beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan. – BERNAMA – SM