J-KOM kini di bawah Kementerian Komunikasi
JABATAN Komunikasi Komuniti (J-KOM) kini akan diselia oleh Kementerian Komunikasi berbanding di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Ia, susulan rombakan Kabinet dan perubahan fungsi beberapa kementerian.
Kata Fahmi, selain J-KOM,Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MyCreative Ventures dikekalkan di bawah Kementerian Komunikasi.
“Ada satu agensi yang dibawa masuk ke dalam Kementerian Komunikasi ialah J-KOM. Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini. – SM