Itu adalah memoir peribadi, tiada siapa berhak haramkan – Rafidah
BEKAS menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz berpendirian tulisan memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berjudul My Story: Justice in the Wilderness adalah pandangan peribadi beliau.
Menurut beliau, tiada pihak yang berhak untuk mengharamkan buku berkenaan atau memaksa melihat sesuatu itu mengikut sudut pandang pembaca, penganalisis atau pengulas.
Beliau berkata, setiap orang mempunyai pandangan berbeza termasuk Tommy namun, itu tidak memberi seseorang itu hak untuk mengharamkan buku berkenaan.
“Penting untuk diingat bahawa setiap orang yang menulis memoir peribadinya, tidak boleh dipaksa untuk melihat sesuatu dari sudut pandang pembaca, penganalisis atau pengulas.
“Seseorang tidak seharusnya menghukum penulis hanya kerana tidak menyukai mesej itu kerana berbeza dengan pandangan atau persepsi mereka,” katanya melalui hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.
Menurutnya, jika penulis menyampaikan mesej daripada perspektif peribadinya maka orang ramai perlu menghormati pandangan mereka.
“Ini adalah trend yang membimbangkan, ketika tidak ada ruang untuk perbezaan pendapat dan kepelbagaian pandangan.
“Tetapi pada masa sama, tidak ada yang mengambil tindakan terhadap beberapa kesalahan dan salah tafsiran fakta oleh beberapa orang. Walaupun ia telah menjadi tular di media sosial,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rafidah yang dalam proses menyiapkan memoirnya sendiri berkata, pembaca tidak hanya mengharapkan pandangan baik-baik mengenai peristiwa atau individu yang akan disebutkan.
“Tidak ada yang dibenarkan memberi panduan kepada saya ketika saya menulis memoir saya. Saya tahu apa yang berlaku, apa yang dikatakan dan terpulang kepada saya untuk menyebut nama atau tidak.
“Itu terpulang kepada saya. Tidak ada pembetulan politik dalam meletakkan pen ke kertas untuk mengaitkan memoir seseorang,” ujarnya.
Pada Jumaat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima tujuh laporan polis di seluruh negara berhubung kes Tommy berkaitan penulisan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang didakwa memfitnah banyak pihak. – SM