Politik

Isu tanah Raub: Selesaikan dengan cara wakaf, pajak

KERAJAAN Negeri boleh menggunakan kaedah wakaf dan pajak bagi menyelesaikan isu pencerobohan haram tanah di Raub, Pahang.

Cadangan tersebut dilihat antara penyelesaian yang boleh digunakan berikutan tanah tersebut sudahpun diusahakan pekebun terbabit lebih 30 tahun lalu.

Justeru, dengan menggunakan kaedah wakaf dan pajak, tanah tersebut boleh terus diusahakan tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

“Tanah-tanah yang terlibat dengan pencerobohan haram itu adalah milik kerajaan negeri.

“Justeru, antara penyelesaian terbaik adalah mewakafkan tanah tersebut.

“Wujudkan badan khas yang akan menjaga tanah tersebut dengan melibatkan Jabatan Agama Islam Pahang.

“Menerusi wakaf, tanah-tanah tersebut boleh dipajak oleh pekebun-pekebun sedia ada ini untuk terus menguruskannya.

“Kemudian hasil pertaniannya dibahagikan secara adil antara pekebun dan kerajaan negeri.”

Demikian cadangan yang diberikan Ketua Penerangan Veteran UMNO, Datuk Zainal Abidin Sakom ketika ditemui wartawan Suara Merdeka hari ini.

Tambahnya, melalui kaedah tersebut, pekebun-pekebun sedia ada boleh meneruskan aktiviti pertanian Durian Musang King mereka seperti biasa.

Malah menurutnya, melalui kaedah itu juga peluang pertanian tersebut boleh dibuka kepada orang lain untuk mengusahakannya dengan.

“Orang lain boleh mengusahakan tanah tersebut sekiranya pemajak asal meninggal dunia, dengan syarat tanah tersebut tidak boleh diwarisi.

“Apabila pemajaknya meninggal dunia, maka kerajaan negeri boleh membuka semula kawasan tersebut untuk memberi peluang kepada orang lain memajaknya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) memaklumkan isu yang melanda penduduk di Raub adalah sulit kerana melibatkan pelbagai kaum.

Justeru, kerajaan negeri ataupun Persekutuan perlu menananginya dengan berhati-hati dan memberikan keputusan yang memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya, isu ini bukan perkara baharu, tetapi ia sudah berlarutan lebih 30 tahun lalu, namun tiada sebarang tindakan sehinggalah baru-baru ini.

“Ini adalah ujian Allah SWT kepada amanah yang dipegang oleh kerajaan sekarang.

“Malah rakyat juga sedang melihat bagaimana isu ini dapat ditangani dengan berkesan oleh kerajaan negeri ataupun Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Terdahulu, 111 pekebun Durian Musang King menyatakan bantahan terhadap arahan Kerajaan Negeri Pahang supaya mengosongkan tanah tersebut.

Bagaimanapun perintah tersebut digantung sementara selepas Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan mendengar semula oleh pekebun terbabit.

Pendengaran semakan kehakiman terhadap perintah pengosongan itu akan didengar semula pada 28 Oktober nanti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button