
Isu peniaga belon: PBT disaran keluarkan lesen sementara kepada penjaja kecil – Muhyiddin
Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa untuk lebih peka dan berhemah dalam menangani isu penjaja kecil dengan mengeluarkan lesen sementara bagi membolehkan golongan tersebut berniaga di tempat tertentu dalam jangka masa yang ditetapkan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu bagi memudahkan penjaja kecil mencari rezeki pada setiap musim perayaan.
“Semasa pentadbiran kerajaan PN, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dengan mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja bagi satu tempoh tertentu untuk memudahkan penjaja kecil menjalankan perniagaan.
“Inisiatif ini dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum tular, tular video yang memaparkan seorang penjual belon dikasari oleh sekumpulan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk kakitangan dipercayai berpakaian awam.
Dalam rakan video berkenaan, penjual belon itu dikasari sehingga dia terjatuh dan berguling di atas jalan raya.
Tambah bekas Perdana Menteri itu, konsep sama boleh digunakan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat yang sedang dihimpit kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
“Yang penting adalah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat. Bila kerajaan prihatin, langkah-langkah tertentu boleh diambil untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu mereka melanggar undang-undang dalam mencari rezeki sesuap nasi,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut meluahkan rasa sedih dan kesal melihat video tular tersebut lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.
Menurutnya, tidak wajar kekesaran sebegitu dilakukan ke atas seorang penjaja tepi jalan yang kesalahannya hanyalah menjual belon.