Agama

Isu lonjakan kos umrah, MOTAC – Arab Saudi perlu berunding

Bagi menangani isu lonjakan kos umrah sejak awal tahun ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diminta untuk berunding secara terus dengan Arab Saudi.

Ini kerana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, isu berkait dengan umrah adalah di bawah tanggungjawab MOTAC.

“Dalam urusan haji, ia memang pun dalam bidang kuasa Tabung Haji (TH) dan pihak saya, tetapi konteks umrah, Motac wajar buat rundingan terus dengan Arab Saudi,” katanya.

Mohd. Na’im berkata demikian ketika ditanya tentang isu kenaikan kos umrah dalam sidang akhbar Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2022.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im menjelaskan bahawa isu kos umrah ada dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Namun maklumat yang diterima, ia juga adalah di luar kawalan kerajaan Arab Saudi kerana kenaikan harga bilik dan segala caj di tanah suci turut melibatkan jemaah seluruh dunia.

Sehubungan itu ujar Mohd. Na’im, pihak Motac seharusnya mengadakan perbincangan dengan para pemilik hotel di sana supaya lebih bertimbang rasa untuk menurunkan kadar harga kerana kos penginapan lebih separuh daripada perbelanjaan umrah selain tiket penerbangan, pengangkutan bas, makan minum termasuk caj lawatan.

Pada ketika ini dianggarkan terdapat sejumlah hampir 500 agensi percutian tempatan di bawah Matta yang diberi lesen bagi pengendalian pakej ibadah umrah oleh pihak Motac.

Menyentuh isu kos haji secara muassasah pada musim kali ini, Mohd. Na’im memberi jaminan bahawa pihak TH dan beliau sendiri akan memastikan ia masih lagi dalam kawalan.

“Pengurusan TH dan saya akan berunding dengan para pengusaha hotel kerana inilah kekangan kos paling besar yang sepatutnya boleh dikawal sepanjang musim haji,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button