Mahkamah

Isu kalimah Allah: Dialog antara tokoh agama jalan tengah lihat ‘keihlasan’ Kristian

Dialog antara tokoh agama mampu menjadi jalan tengah bagi menyelesaikan konflik penganut agama Kristian yang mahu menggunakan kalimah Allah dalam kitab Injil.

Namun demikian Pakar Perlembagaan Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpendapat, pemimpin agama Kristian perlulah ikhlas dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Mereka bebas menggunakan istilah tuhan sebagai terjemahan kepada God untuk menikmati hak kebebasan beragama mereka.

“Ibadah mereka masih sah tanpa menggunakan kalimah Allah, kerana kalimah Maha Suci itu tidak eksklusif bagi nama tuhan mereka.

“Sebaliknya, orang Islam tiada pilihan selain berpegang bahawa Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak dan diperanakkan.

“Tindakan mensyirikkan Allah adalah satu perbuatan menghina Tuhan yang disembah oleh orang Islam, yang dianggap paling keji dan terlarang dalam ajaran Islam,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata demikian mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia yang tidak berniat meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Bagi Wan Ahmad Fauzi, kalimah Allah bukanlah terjemahan bahasa Melayu bagi ‘God’, sebaliknya kalimah Arab yang merujuk kepada nama khas Tuhan dalam ajaran islam.

Tegasnya, Allah adalah kalimah agama dan bukanlah nama umum bagi tuhan dalam bahasa Melayu dan beliau mempertikaikan kerelevanan penganut agama Kristian menggunakan nama khas bagi Tuhan yang diimani oleh orang Islam.

“Jika penganut agama selain Islam ingin menggunakan bahasa Melayu dalam ibadat mereka, terjemahan perkataan ‘God’ ialah ‘tuhan’.

“Islam dan penganut agama Islam tidak menghalang hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Mereka boleh mengamalkan agama mereka secara aman selagi tidak mengganggu kedamaian dalam Persekukutuan.

“Jika sekiranya penyelesaian seperti di atas tidak boleh diterima, maka kaedah terbaik untuk menguruskan isu sensitif tersebut ialah dialog antara tokoh agama Islam dan agama Kristian,” katanya.

Bagi Wan Ahmad Fauzi, saranan tersebut wajar kerana agama Islam mengakui Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa (a.s) yang turut berkongsi banyak nama yang mempunyai persamaan identiti dengan para Rasul yang disebut dalam al-Qur’an.

“Dialog tersebut bolehlah memberikan tumpuan khusus kepada sifat Allah SWT yang diimani oleh orang Islam dengan Tuhan yang termaktub dalam Kitab Injil.

“Dialog tersebut perlu dilaksanakan secara harmoni dengan tujuan untuk memberikan pencerahan kepada penganut agama masing-masing tentang Tuhan yang disifatkan dalam kitab suci al-Qur’an dan Injil, atau bible yang diakui sahih oleh penganut agama Kristian,” katanya.

Hasil daripada dialog tersebut bolehlah dijadikan sebagai pertimbangan kepada sebarang polisi hubungan antara penganut agama dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang peribadi orang Islam.

Pihak pimpinan agama Kristian khususnya yang menuntut penggunaan kalimah Allah dalam ajaran mereka harus bersifat terbuka untuk menyahut saranan ini, dan tidak mengenakan syarat untuk menafikan kehadiran mana-mana pakar perbandingan agama dalam dialog yang dimaksudkan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button