SESIAPA yang menyebar atau membuat kenyataan berbaur fitnah berkenaan dengan isu Caprice dan Ustaz Ebit Lew boleh dikenakan tindakan.
Itu yang ditegaskan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkenaan dengan isu tersebut.
Menurut Abd Jalil, beberapa hari ini media sosial hangat memperkatakan mengenai tindakan seorang penyanyi rap, Caprice yang mempersoalkan tindakan Ustaz Ebit Lew ketika misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.
“Setakat ini tiada laporan diterima dan tiada kertas siasatan dibuka mengenai perkara ini.
“Walaubagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebar atau membuat kenyataan berbaur fitnah dan mengaibkan seseorang,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu adalah satu keselahan jenayah dan boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan; Seksyen 504 Kanun Keseksaan; Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Justeru, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan isu ini dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil jika berlaku pelanggaran undang-undang seperti yang dinyatakan.
Terdahulu, media sosial kecoh dengan kenyataan Caprice yang didakwa akan membuat pendedahan berkenaan dengan isu Ustaz Ebit Lew yang berjaya masuk ke Gaza, Palestin.
Perkara itu telah membuatkan netizen mula menyatakan komen yang berbelah bahagi berkenaan isu tersebut.
Ada yang menyokong Caprice dan ada juga yang berpendapat bahawa Ustaz Ebit Lew tidak bersalah dalam hal ini.
Namun pada hari ini, Caprice telah mengeluarkan permohonan maaf di akaun Instagram miliknya termasuklah kepada Ebit Lew dipercayai berkenaan isu yang sedang dihadapi. -SM