Nasionalpilihan

Suntikan vaksin kosong, CITF ambil tindakan

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF)  akan mengambil tindakan terhadap dakwaan berkaitan suntikan vaksin kosong di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

CITF dalam kenyataannya berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan siasatan tentang perkara ini.

“Kes pertama telah berlaku pada 17 Julai lalu di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah di mana PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja.

“Vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.

“Satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM mengenai kejadian tersebut di mana individu-individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Tindakan tatatertib setelah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut,” katanya.

Menurut CITF, terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong.

Jelasnya, berlaku kes sama di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), pada tarikh yang sama dan laporan polis juga telah dibuat.

“Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu juga telah dibuat pada 18 Julai lalu dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit.

“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan. Sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, CITF berkata, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

Tambahnya, orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya. -SM

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button