ISU 3R untuk tutup kelemahan kerajaan – Tun Faisal
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kerajaan sengaja menyekat kritikan berhubung isu 3R iaitu agama, institusi diraja dan kaum, untuk menutup kelemahan sendiri.
Jelasnya, isu 3R dimainkan oleh kerajaan campuran kerana mereka mahu menutup kelemahan dalam pentadbiran dan cuba mencari jalan untuk menunjukkan kononnya Perikatan Nasional (PN) adalah ekstrem pada pandangan mata rakyat.
“Mereka nak divert dari perkara-perkara yang menjadi kelemahan mereka,” kata beliau ketika berucap pada Ceramah Jelajah Nismilan Kita Ubah di Lenggeng malam tadi.
Justeru Tun Faisal menggesa agar rakyat tidak terperangkap dengan permainan provokasi yang dicetuskan kerajaan campuran, termasuk isu melibatkan 3R.
Beliau juga menyeru rakyat menolak gabungan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos, ia akan dapat menyekat keangkuhan yang sedang dilakukan pemimpin mereka.
Tun Faisal berkata pengundi di enam negeri mempunyai peluang untuk memberi isyarat kepada kerajaan campuran yang dilihat lemah dalam pentadbiran supaya membuka mata mereka bagi mendengar permasalahan dihadapi orang ramai ketika ini.
“Kalau kita sama-sama tolak Pakatan Harapan dan juga Barisan Nasional, kerajaan hari ini akan mula buka mata.
“Akan mula dengar suara rakyat. Dan masa itulah apa yang tuan-tuan minta barulah dia nak tengok apa yang dia janji-janji sebelum ini barulah dia nak pertimbangkan,” katanya semasa berucap pada Ceramah Jelajah Nismilan Kita Ubah di Lenggeng malam tadi.
Bagaimanapun, Tun Faisal berkata jika rakyat masih menyokong gabungan kerajaan campuran dalam PRN, keangkuhan pemimpin mereka akan berterusan dan suara rakyat akan dipinggirkan.
“Kalau kita masih undi Barisan Nasional-Pakatan Harapan, bila orang UMNO yang tak suka Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) masih undi Barisan Nasional maka kekal lah Zahid di situ, maka kekal lah kerajaan yang angkuh dan tak dengar suara rakyat di situ,” ujarnya lagi.
Tun Faisal menyifatkan kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendengar suara rakyat, ia terbukti dalam isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kenaikan harga barang yang gagal ditangani dengan sebaiknya.