Jenayah

Isteri tetak suami yang disyaki ada perempuan lain

SEORANG suri yang berang suaminya ada hubungan dengan perempuan lain telah bertindak menetak suaminya itu menggunakan pisau pemotong daging.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pada kira-kira pukul 10.30 malam pada 31 Ogos, sepasukan polis, bertindak atas maklumat bahawa seorang lelaki cedera parah semasa pertengkaran di tingkat satu rumah kedai di Jalan Amoi, Sibu.

“Pasukan mendapati seorang lelaki mengerang kesakitan dengan luka di tangan dan lutut,” katanya.

Setelah disoal siasat, mereka menahan isteri lelaki berusia 27 tahun itu.

Stanley memberitahu, pada pukul 10 pagi 31 Ogos, suspek telah menahan mangsa yang bekerja sebagai pengadun simen daripada keluar kerana mengesyaki dia berjumpa dengan wanita lain.

“Ini membawa kepada pertengkaran antara keduanya. Apabila situasi makin panas, wanita itu mengeluarkan alat pemotong daging dan cuba menetak mangsa” katanya.

Melihat situasi itu, mangsa menggunakan kedua tangannya untuk menangkis serangan itu.

Suspek kemudian mengarahkan serangan ke kaki kiri mangsanya.

“Datuk suspek bagaimanapun berjaya meleraikan wanita itu dengan mengheretnya keluar dari rumah sementara kakaknya memanggil polis,” katanya.

Mangsa mengalami luka di kedua-dua tangan dan lutut kiri.

Selain menangkap isteri, polis juga merampas alat pemotong berukuran 28cm yang dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek.

“Pasangan ini telah berkahwin selama tiga tahun dan mempunyai seorang anak,” kata Stanley.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana secara sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button