Berita

Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR 9 Jun 2023 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menerima menghadap Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi ini.

Ismail Sabri dalam hantaran facebook miliknya berkata, beliau menyembah maklum kepada KDYMM Tuanku mengenai program-program yang dirancang di bawah Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

YKM bertanggungjawab untuk membantu anak-anak yatim yang kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 serta ibu bapa yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan bencana yang lain dari aspek kebajikan dan pendidikan.

“Patik menjunjung kasih di atas kesudian KDYMM Tuanku untuk mencemar duli berangkat ke program YKM khususnya untuk bersama anak-anak yatim dalam waktu terdekat.

“Patik juga menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Tuanku menerima patik menghadap dan atas keprihatinan Tuanku untuk membantu anak-anak yatim YKM,” katanya.

Beliau mendoakan agar KDYMM Tuanku sentiasa dirahmati Allah SWT, sihat walafiat dan dipanjangkan umur serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button