Politik

Ismail Sabri mahu sokongan UMNO sebagai PM untuk selesai isu rakyat

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu terus mendapat sokongan parti sebagai perdana menteri untuk membantunya fokus menyelesaikan isu ekonomi dan kesihatan dihadapi rakyat.

Beliau berkata walaupun kes COVID-19 semakin menurun berbanding di awal pelantikannya sebagai perdana menteri dan ekonomi negara juga dilihat semakin pulih, tugas itu masih belum berjaya dilunaskan dengan sepenuhnya.

“Saya perlu sokongan dari parti untuk naikkan semangat saya untuk perjuangan. Isu terbesar adalah isu rakyat dan bukan politiking yang tak habis-habis.

“Kes memang semakin menurun tapi masih di sekitar 4,000. Jangan ingat kita dah bebas sepenuhnya dari COVID-19 dan tanggungjawab saya masih lagi besar dan perlu saya lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bera, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menyeru UMNO untuk kembali ke asas perjuangan parti dalam membawa kesepaduan dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam, bagi memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau juga mengingatkan ahli parti untuk menjadikan kekalahan pada PRU-14 yang lalu sebagai peringatan, mengenai kepentingan kesepaduan dalam parti.

“Kita bentuk kerajaan hari ini bukan kerana kita menang PRU tetapi kerana kita bekerjasama dengan parti lain. Kita seolah-olah lupa perkara itu.

“Tujuan asal penubuhan UMNO adalah untuk menyatupadukan umat Islam dan Melayu, namun sebaliknya yang terjadi sekarang apabila wujud beberapa kem dan pergeseran dalam parti,” katanya.

Naib Presiden UMNO itu juga mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu mendabik dada dengan kemenangan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini dengan menggesa PRU diadakan secepat mungkin. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button