Politik

Ismail Sabri jumpa Muhyiddin tentukan Hishammuddin TPM?

BIKIN gempar sahaja. Kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yasssin hari ini bagi membincangkan tentang pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM).

Hari ini, Ismail Sabri berada di Segamat, Johor bagi melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Buloh Kasap.

Memberi info kepada rakyat biarlah sahih dan jangan bersandarkan kepada spekulasi kerana inilah nanti rakyat kata, baca boleh percaya jangan.

Tidak habis-habis lagi membuat spekulasi bahawa Ismail Sabri bakal meletakkan seorang Ahli Parlimen dari UMNO untuk mengisi jawatan TPM dalam rombakan Kabinet yang diuar-uarkan bakal diadakan minggu depan.

Sedangkan tiada maklumat sahih berhubung rombakan Kabinet dan telahpun dinyatakan bahwa empat menteri kabinet kononnya bakal digugurkan adalah tidak benar.

Berita palsu atau fake news seperti ini tidak harus diberi kepada rakyat walaupun penyokong Hishammuddin mahu merealisasikan apa yang diinginkan.

Memang benar Hishammuddin kini Menteri Kanan Pertahanan dan mengikut perkiraan kasar, beliau berada di tangga teratas jika dibuat pemilihan untuk mengisi jawatan TPM.

Malaysia tiada TPM sejak Muhyiddin menjadi perdana menteri dan kekosongan kerusi TPM dilangsungkan dalam kepimpinan Ismail Sabri.

Sokongan kepada Hishammuddin sampai ke tahap beliau dilihat sebagai lebih berwibawa berbanding Ahli Parlimen UMNO yang lain terutama dalam urus tadbir Kerajaan Pusat.

Dari sudut senioriti atau kekananan, Hishammuddin telah menjadi menteri di beberapa kementerian utama setelah pada awalnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada tahun 1996 sebelum beliau  dilantik sebagai menteri penuh di Kementerian Belia dan Sukan pada 1999.

Lain-lain jawatan Hisahmmuddin, pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

Empat kementerian yang dilihat sebagai langkah untuk ke pintu pejabat TPM yang pernah Hishammuddin sandang ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

Ismail Sabri dikatakan perlu mendapat ‘kelulusan’ Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melantik Hishammuddin sebagai TPM. Kelulusan bukan daripada Majlis Tertinggi (MT) atau Presiden UMNO.

Ini kerana PN serta yang bersekutu dengannya adalah gabung terbesar parti-parti di luar Barisan Nasional (BN) yang memberi sokongan kepada Ismail Sabri untuk menjadi PM kesembilan.

Dalam Kabinet sekarang BN mempunyai 13 menteri termasuk Ismail Sabri sendiri sebagai perdana menteri dengan 11 daripadanya adalah daripada UMNO dan masing-masing satu MCA dan MIC.

Manakala PN juga mempunyai 13 kerusi menteri dengan 10 daripada adalah daripada Bersatu dan PAS (tiga). Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai empat menteri serta satu daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Untuk rekod, GPS sebelum ini telah bertindak keluar daripada BN dan memberi sokongan kepada PN.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz adalah satu-satunya Menteri penuh yang tidak menyertai mana-mana parti politik dan dilantik sebagai Senator.

Bagaimanapun Ismail Sabri tidak boleh mengetepikan beberapa individu lain bagi mengisi kerusi TPM terutama dua pemimpin Bersatu iaitu Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Nama kedua-duanya bukan baharu disebut bagi mengisi jawatan TPM malah ia tercetus sejak awal Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri.

Namun berbanding Azmin dan Hamzah, Hishammuddin dilihat lebih layak dalam banyak hal khususnya untuk memperkukuhkan kedudukan Ismail Sabri dalam UMNO. – SM

(Visited 788 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button