PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendaftar di Fakul Undang-Undang Universiti Malaya (UM) berdasarkan merit dan bukannya menggunakan kroni seperti mana dakwaan individu tertentui yang berniat jahat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga pemimpin PKR, Hassan Abdul Karim berkata, Ismail Sabri masuk ke UM berdasarkan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang baik, bukan kerana mempunyai ‘kabel’ atau kroni.
“Fakta yang dinyatakan oleh Andrew Peris (pemilik akaun facebook) itu tidak betul. Ada moleknya, saya ceritakan dari awal sejarah persekolahan Ismail Sabri.
“Beliau asalnya bersekolah rendah Melayu di Sekolah Kampung Bangau, Temerloh, Pahang. Selepas darjah Enam, Ismail Sabri masuk ke sekolah berasrama, iaitu Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan.
“Murid yang dipilih bersekolah di sekolah berasrama biasanya murid yang pandai. Ismail Sabri yang berasal dari sekolah rendah aliran Melayu terpaksa melalui kelas peralihan atau ‘remove class’ apabila di sekolah menengah.
“Dari kelas peralihan, Ismail Sabri terus melompat ke Tingkatan Dua. Beliau tidak ke Tingkatan Satu. Murid yang dibenarkan melompat dari Kelas Peralihan terus ke Tingkatan Dua, tentunya bukan murid yang lembam dan bodoh.
“Ismail Sabri lulus peperiksaan LCE (Lower Certificate Examination atau Sijil Rendah Pelajaran) aliran sekolah Inggeris. Beliau naik ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik, Kuantan. Bukannya ke ‘sekolah vokasional’ seperti yang ditulis oleh Andrew Peris.
‘Ada perbezaan antara sekolah vokasional dengan Sekolah Menengah Teknik,” katanya dalam catatan di Facebook.
Hassan secara peribadi juga mengenali bapa Ismail Sabri, yang disifatkannya sebagai orang biasa, yang bekerja sebagai penoreh getah.
Katanya, jika tidak mengendahkan dakwaan mengenai Ismail Sabri, maka beliau akan gagal kerana membenarkan fakta palsu yang boleh mencemarkan latar belakang akademik Perdana Menteri.
“Walaupun menjadi ahli Parlimen pembangkang dan duduk di pihak lawan dalam politik, namun kami bukan musuh tetapi hanya seteru politik.
“Malah kritikan saya sebagai seorang ahli Parlimen pembangkang terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri lebih tajam dan lantang, kadang-kadang tanpa belas kasihan, tetapi itu tidak ada kena mengena dengan peribadi,” katanya.
Sebelum ini tular mesej pemilik akaun facebook menggunakan nama Andrew Peris mendakwa bahawa keputusan SRP Ismail Sabri adalah lemah menyebabkan beliau memasuki sekolah vokasional di tingkatan empat.
Seterusnya, Andrew Peris mendakwa bahawa Ismail Sabri gagal Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan pergi ke sekolah swasta untuk mengambil semula peperiksaan.