Politik

Ismail jangan goyah dengan ugutan Zahid

Dapat tengkolok tanpa perlu berpencak, pasang lukah di dua lubuk

ulama

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Amaran itu diberikan kepada Ismail kerana dipercayai Naib Presiden UMNO itu menjadi orang yang mendapatkan tandangan ahli parlimen UMNO untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ismail dikatakan mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen UMNO selepas bertemu Muhyiddin, pada malam Zahid mengumumkan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.

Pada keesokannya apabila Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong beliau mendapati Zahid hanya mempunyai sokongan lapan orang ahli parlimen dan empat daripada mereka pula telah menandatangani kedua-dua surat iaitu menyokong serta tidak menyokong PN.

Ini bermakna hanya tinggal empat sahaja yang memberi sokongan sebenar kepada Zahid.

Risikan sumber mendapati mereka yang menyokong Zahid ialah Zahid sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Ahmad Maslan dan Ramli Mohd Nor.

Justeru gerak kerja Ismail agak berkesan, tetapi tidak cukup kemas kerana sepatutnya beliau mempunyai pengaruh yang kuat di dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ismail sepatutnya memainkan peranannya untuk mengukuhkan pengaruhnya di dalam parti. Jadi apabila dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau sepatutnya memilih setiausaha politik dan lain-lain jawatan bagi mendampingi beliau terdiri daripada ahli MKT.

Untuk menguasai bahagian parti, beliau perlu terlebih dahulu menguasai MKT. Ismail juga dikatakan tidak bersuara sebagai pemimpin yang hirarki paling tinggi di dalam parti yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan.

Oleh itu Ismail perlu memperkemaskan lagi gerak kerja beliau supaya tidak disalah anggap mendapat tengkolok tanpa perlu berpencak dan memasang lukah di dua lubuk.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button