Nasional

Isma kesal keadilan terhadap Arwah Adib masih belum terbela

PERTUBUHAN Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) zahirkan kekesalan terhadap pembunuhan anggota bomba Allahyarham Muhamamd Adib Mohd. Kassim masih belum terbela.

Ini kerana pihak berkuasa masih lagi belum mengambil tindakan menangkap suspek pembunuhan dan hal tersebut turut dibangkitkan bapanya, Mohd. Kassim Abdul Hamid.

Walaupun Mahkamah Koroner sebelum ini memutuskan kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib merupakan perbuatan jenayah oleh lebih dua individu.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini pernah memalumkan antara cadangan dikemuka adalah untuk membuka semula inkues bagi siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara.

Tindakan sedemikian menambah lagi kesukaran pembelaan terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib, sedangkan inkues sudahpun dilakukan sebelum ini.

“Saya rasa bersalah dan sedih kerana masih lagi tidak dapat menegakkan keadilan buat Allahyarham dan keluarganya itu.

“Kadangkala, saya rasa marah apabila mereka yang dahulunya beriya-iya membela keluarga Adib tetapi kini senyap menyepi dan ada pula yang telah ‘U-turn’.

“Malah, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara pun sudah tidak menyebelahi kita.”

Demikian kata Presiden Isma, Aminuddin Yahya dalam satu kenyataannya baru-baru ini merujuk kepada luahan kekecewaan Mohd. Kassim.

Tambahnya lagi, beliau turut berasa buntu memikirkan cara dan strategi untuk menegakkan keadilan buat Allahyarham, namun yakin rakan-rakan dan pertubuhan lain turun membantu.

Dalam pada itu, Aminuddin turut memberitahu kerap terbayang kesedihan yang dialami keluarga Allahyarham terutama kedua ibu bapanya.

Beliau juga mengakut tidak dapat menahan kesedihan setiap kali melihat kedua ibu bapa Allahyarham Muhammad Adib menangis atas penganiayaan yang berlaku kepada anak dan keluarganya itu.

“Saya secara peribadi mengenali keluarga Allahyarham, terutamanya ayahnya yang sangat cekal dan merendah diri.

ADIB

“Apabila ayahnya mengeluarkan kenyataan sebegini di media, pastinya beliau tidak lagi dapat menahan kekesalan.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama ayahnya mengeluarkan kenyataan media sebegini.

“Setiap kali ada berita daripada keluarga Allahyarham, saya terus terbayang wajah ayah, ibu dan adiknya yang sudah beberapa kali saya saksikan menangis,” luahnya yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Terdahulu, Muhammad Adib dimasukkan ke Pusat Perubatan Sime Darby di Subang Jaya, Selangor selepas dipercayai diserang dan dipukul sehingga parah.

Ia susulan kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Shah Alam, Selangor pada 26 November 2018.

Allahyarham kemudian dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan menghembuskan nafas terakhirnya kurang sebulan selepas kejadian rusuhan itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button