Islam ada kaedah sendiri rai kepelbagaian – Ahmad Yahaya
ISLAM Islam mempunyai kaedah sendiri dalam meraikan kepelbagaian agama yang mana ia tidak boleh melanggar batasan syarak.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, batasan itu tidak boleh dilanggar sesuka hati walaupun atas alasan keharmonian.
“Batasan syarak tidak boleh dilanggar sesuka hati semata-mata berlapikkan alasan keharmonian agama dan kaum kerana ia melibatkan soal akidah umat Islam.
“Ironinya (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Nga Kor Ming bukan sahaja tidak mengendahkan teguran yang dikemukakan, bahkan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda hormat terhadap agama Islam serta pendirian dan garis panduan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu ini.
“Sikap Nga itu menyerlahkan sisi-sisi ekstrem yang menjadi pegangan DAP selama ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kebebasan beragama sering kali disalah guna serta dieskploitasi sehingga menceroboh sempadan agama Islam sehingga sesiapa berpegang dengan hukum syarak dianggap sebagai tiada toleransi.
Walhal menurutnya, fatwa mengenai garis panduan sambutan Krismas oleh umat Islam telahpun dikeluarkan sejak tahun 2005.
“Persoalannya, mengapa beliau kelihatannya meminggirkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahkan juga Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan,” soalnya.
Ahmad berkata, Dewan Ulama Pas Pusat juga menuntut Menteri Agama dan agensi utamanya, JAKIM tidak sekadar menjadi pemerhati dalam isu itu.
“Apa yang berlaku ketika ini jelas pencerobohan terhadap agama Islam. Mengapa mereka mengambil sikap membisu apabila isu sebegini berlaku, sebaliknya bersuara dengan lantang ketika isu GISB mahupun lain-lain timbul,” katanya. – SM