Ekonomi

IPO SDCG terlebih langganan 144.08 kali

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Solar District Cooling Group Berhad (“SDCG”) mengumumkan bahawa Tawaran Awam Permulaannya (“IPO”) telah terlebih langganan sebanyak 144.08 kali.

SDCG dan anak syarikatnya (“Kumpulan”) terlibat terutamanya dalam penyediaan dan penyelenggaraan sistem pengurusan bangunan (“BMS”), sistem haba suria dan perkhidmatan penjimatan tenaga dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia 19 September ini.

IPO SDCG terdiri daripada terbitan 118.67 juta saham biasa baharu dengan 21,192,000 saham baharu tersedia untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia melalui undian.

Manakala 21,192,000 saham baharu tersedia untuk permohonan oleh orang yang layak; dan 76,286,000 Saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

SDCG menerima sejumlah 31,678 permohonan untuk 3,074,469,300 Saham baharu bernilai RM 1,168,298,334 daripada orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 144.08 kali.

Bagi peruntukan Bumiputera menyaksikan 15,307 permohonan untuk 1,356,970,100 saham baharu, dengan kadar lebihan langganan sebanyak 127.06 kali.

Kategori awam merekodkan 16,371 permohonan untuk 1,717,499,200 saham baharu, menunjukkan kadar terlebih langganan sebanyak 161.09 kali.

Sementara itu, sejumlah 21,192,000 saham baharu yang tersedia untuk permohonan oleh Orang Yang Layak telah dilanggan sepenuhnya.

Di bawah penempatan persendirian kepada pelabur terpilih yang terdiri daripada 76,286,000 Saham baharu, Ejen Penempatan telah mengesahkan bahawa bahagian penempatan telah dilanggani sepenuhnya.

Pengarah Urusan Bukan Bebas SDCG, Edison Kong berkata pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan yang menggalakkan terhadap IPO SDCG.

“Minat pelabur yang kukuh adalah sokongan yang jelas terhadap hala tuju strategik kami dan potensi pertumbuhan dalam BMS dan sektor perkhidmatan prestasi tenaga. Kami menghargai kepercayaan yang diberikan pelabur kepada kami, dan kami komited untuk menggunakan sokongan ini untuk memacu usaha pengembangan dan inovasi kami,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah penerimaan positif daripada pelabur adalah memberi
keyakinan yang kukuh untuk terus meningkatkan keupayaan syarikat dan mengembangkan jejak dalam sektor perkhidmatan BMS dan prestasi tenaga.

Mercury Securities Sdn. Bhd. ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin, dan Ejen Penempatan untuk penyenaraian IPO ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button