Acara

Integriti harus jadi nilai dalam kehidupan – Raja Muda Perlis

28 Oktober 2024.
Kangar.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, integriti bukanlah satu konsep yang hanya indah pada bicara, tetapi merupakan asas kepada kehidupan yang mulia, kehidupan yang penuh dengan kejujuran, amanah, dan keadilan’.

Baginda menambah, ‘Tanamkanlah dalam diri betapa pentingnya nilai integriti dalam setiap aspek kehidupan sama ada di alam akademik, di lapangan pekerjaan mahupun dalam perhubungan sosial dan peribadi’.

“Masyarakat yang berjaya adalah masyarakat yang meletakkan integriti sebagai teras kehidupan, mematuhi agama, menghormati perlembagaan dan undang-undang”, tegas Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Pemantapan Integriti Mahasiswa Universiti (PiMU) Tahun 2024 di Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya.

Turut hadir sama adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Dekan Hal Ehwal Pelajar Mewakili Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin

PiMU 2024 ini telah dianjurkan oleh Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bertujuan melahirkan mahasiswa cemerlang, berintegriti, dan berpegang kepada nilai-nilai yang membimbing mereka dalam kehidupan dan kepimpinan masa hadapan.

Antara objektif PiMU ini termasuklah menyemai dan memupuk budaya integriti dalam kalangan mahasiswa Sarawak, meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang pentingnya integriti dan usaha anti-rasuah serta menyediakan platform bagi mahasiswa untuk memperluaskan jaringan dan bertukar pandangan.

Seramai 150 orang pelajar Sarawak dari UniMAP dan 50 orang pelajar lagi dari UUM terlibat pada majlis perasmian penutup ini.

Tuanku Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP menzahirkan agar para mahasiswa menjadi insan yang mempunyai prinsip dan pegangan yang teguh. Baginda turut berharap agar program seumpama ini memberikan pendedahan yang sewajarnya untuk para peserta menjadi pemimpin masa hadapan yang disegani, dihormati, dan yang sentiasa berpegang kepada kebenaran.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button